Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pekan hari ini.

DAKWAAN TAK TERIMA BANTUAN BANJIR TIDAK BERASAS

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 18 JANUARI 2021: Dakwaan kononnya 40 buah keluarga di Kampung Padang Rumbia tidak menerima bantuan banjir adalah tidak berasas, kata Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar berkata, setiap daripada mangsa banjir yang dikenalpasti sama ada berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau tidak, telah menerima bantuan yang diperuntukkan.

“Saya ada menerima satu laporan berkenaan tuduhan yang mendakwa penduduk Padang Rumbia yang tak berpindah tidak terima sebarang bantuan. Ini adalah satu tuduhan yang tidak bertangggungjawab dan fitnah semata-mata.

“Saya sendiri telah mengarahkan Ketua Kampung melalui JKKK serta Penghulu memastikan setiap daripada mereka yang terlibat menerima bantuan sewajarnya.

“Saya sendiri bersama jentera juga telah turun ke setiap rumah yang telah dinaiki air dan memberi bantuan dan ada juga yang selebihnya diberikan oleh pihak JKKK,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Dalam pada itu, beliau berharap agar masyarakat tidak termakan dengan fitnah dan tuduhan tersebut yang sedikit sebanyak telah mencalarkan imej Kerajaan Negeri, wakil rakyat dan pihak JKKK.

“Saya harap mereka ini meminta maaf dan tidak terus membuat cerita yang tidak boleh diterima sama sekali. Dalam keadaan seperti ini, apa yang penting adalah kerjasama dalam memastikan mereka yang ditimpa musibah tetap dapat dibela,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana isu berkenaan boleh timbul, beliau menjangkakan ia berlaku akibat rasa tidak puas hati segelintir pihak terhadap usaha yang dilakukan.

“Rasa ini datang daripada mereka yang berbeza ideologi politik yang iri hati melihat jentera Kerajaan Negeri bergerak dengan baik. Kita dapat menyediakan bantuan sewajarnya dan ia telah berjaya sampai kepada sasarannya (mangsa banjir).

“Ada juga yang mendakwa tidak dapat kurnia dari KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Pemangku Raja Pahang yang hadir mencemar duli ke PPS Padang Rumbia.

“Hakikatnya, lawatan secara mengejut sudah pasti kita tak dapat dijangka dan sumbangan diserahkan kepada mangsa yang berada di PPS sahaja. Dalam satu hari lawatan, banyak tempat banjir dalam negeri ini yang Baginda Tuanku perlu pergi, bukan hanya satu kawasan yang terjejas sahaja,” jelasnya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download