Sukarnaim Med berehat sebentar setelah penat bekerja mencari pendapatan tambahan di tapak pelupusan sampah, Bukit Ibam hari ini

“DAKWAAN ITU TIDAK BENAR, KAMI HANYA CARI REZEKI TAMBAHAN”

Oleh: Shahrinnahar Latib
Foto: Mahathir Ali

ROMPIN, 17 FEBUARI 2020 : “Dakwaan itu tidak benar, kami hanya mencari pendapatan sampingan untuk menambah perbelanjaan harian… Bukan kami tinggal di tapak pelupusan sampah ini,” tegas pemuda Orang Asli, Sukarnaim Med, 28.

Menurut penduduk Kampung Jubau itu, dia datang ke tapak mengumpulan sampah itu untuk bekerja membawa jentera pengorek selain turut mencari barangan kitar semula.

Samri Rosli menunjukkan hasil kutipan berupa tin terpakai yang berjaya dikumpul olehnya di Tapak Pelupusan Sampah, Bukit Ibam

“Memang ada penduduk kampung Orang Asli yang berdekatan datang ke tapak pelupusan sampah ini untuk cari barangan kitar semula.

“Tetapi tidak ada yang tinggal di sini. Selepas kutip, mereka akan balik ke rumah masing-masing. Pondok-pondok yang dibina ini hanya untuk berteduh,” katanya ketika ditemui di tapak pelupusan di Bukit Ibam di sini hari ini.

Katanya, setiap hari terdapat kira-kira lima hingga enam keluarga datang ke kawasan ini untuk mencari barangan kitar semula bagi dijual kepada peraih yang datang ke sini.

Sementara itu, Samri Rosli, 25, berkata, penduduk Orang Asli mampu meraih pendapatan sehingga RM500 sebulan dengan mencari barangan kitar semula di sini.

Pondok-pondok yang dibina oleh Orang Asli di tempat pelupusan sampah ini hanya untuk berteduh

“Ini hanya pendapatan sampingan untuk mereka. Ada yang hanya datang petang sahaja sebab ada kerja lain. Dakwaan kononnya menetap di sini adalah tidak benar.

“Tidak ada yang tidur di sini… Mereka akan balik ke rumah masing-masing selepas selesai membuat semua kerja. Kanak-kanak pun datang hanya untuk membantu ibu bapa mereka,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan mereka mempunyai pekerjaan tetap dan aktiviti ini dilakukan secara sampingan.

Sebelum ini, sebuah portal mendedahkan kira-kira 60 keluarga Orang Asli termasuk kanak-kanak yang berusia seawal dua tahun bekerja di tapak pelupusan di Bukit Ibam.

Namun kelmarin Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan, hasil siasatan yang dilakukan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) mendapati anak-anak Orang Asli itu mengikut ibu bapa mereka mencari tin, kertas dan plastik terpakai untuk dijual dan dikitar semula.

Menurutnya, tidak timbul sebarang isu bahawa anak-anak itu dikerah untuk bekerja atau menjadikan tapak pelupusan sampah sebagai taman permainan mereka. – PAHANGMEDIA

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: