COVID-19: UMP LAKSANA PENGAJARAN DALAM TALIAN

KUANTAN, 16 MAC 2020: Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengubah kaedah operasi di kedua-dua Kampus UMP Pekan dan Gambang berkuat kuasa serta merta mulai hari ini hingga 12 April ini dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, sepanjang tempoh berkenaan, staf akademik universiti ini akan mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (PnP) menggunakan e-Learning dengan aplikasi dalam talian.

“Semua sesi pembelajaran dan pengajaran akan dijalankan secara dalam talian kepada semua pelajar. Segala aktiviti bersemuka seperti kuliah, makmal dan penyelidikan akan dihentikan serta merta dan akan diselaraskan semula ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau sebelum ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bertindak Bencana Universiti.

Wan Azhar berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai langkah proaktif memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan secara teratur dan sistematik.

“Dengan keputusan ini, semua staf akademik akan melaksanakan kaedah e-Pembelajaran dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran UMP (KALAM) pada masa kuliah sebenar dengan menggunakan mana-mana aplikasi talian yang bersesuaian,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga menasihatkan staf akademik UMP mendapatkan khidmat nasihat bagi melaksanakan P&P secara e-Pembelajaran daripada pihak Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL) UMP bagi memastikan perkara ini dilaksanakan mengikut keperluan yang ditetapkan.

“UMP juga menangguhkan semua program atau aktiviti membabitkan perhimpunan di dalam dan luar kampus universiti ini, selepas mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, staf pentadbiran dan akademik juga dikehendaki melaksanakan kerja dari rumah kecuali staf yang menjalankan tugas-tugas berkaitan kepentingan universiti seperti keselamatan, kesihatan atau staf yang diarahkan bertugas,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: