Keadaan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di sini yang lengang walaupun pada hari gaji.

COVID-19: TIADA KESESAKAN DI BANK PADA HARI GAJI

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 MAC 2020: Kakitangan awam di Pahang yang menerima bayaran gaji hari ini mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan apabila tidak berpusu-pusu di bank untuk mengeluarkan wang gaji masing-masing.

Tinjauan Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di beberapa buah bank dan mesin juruwang automatik (ATM) di bandar Kuantan mendapati, suasana dan urusan perbankan berjalan seperti biasa dan keadaan agak lengang.

Ini membuktikan kakitangan awam di Pahang khususnya Kuantan patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Sebuah bank di Kuantan yang lengang walaupun pada hari gaji.

Menurut seorang kakitangan bank, Mohd Ikhwan Zainal Abidin, 35, suasana di ATM kali ini memang berbeza berbanding hari gaji sebelum ini kerana tidak ramai yang datang untuk mengeluarkan wang.

“Jika sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, memang keadaan di bank serta mesin ATM sibuk atau perlu bersesak-sesak. Kadang-kadang pelanggan terpaksa beratur lama.

“Namun pada kali saya lihat memang berbeza. Orang ramai memang mematuhi arahan Perintah Kawalan pergerakan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Notis berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diletakkan di pintu sebuah bank di Kuantan.

Katanya, ini menunjukkan kesedaran dalam kalangan orang ramai, termasuk kakitangan awam terhadap wabak COVID-19 amat tinggi.

“Saya lihat kebanyakan yang datang akan memakai penutup hidung dan mulut selain ada yang memakai sarung tangan ketika mengeluarkan wang menerusi mesin ATM.

“Pihak bank juga menghadkan hanya 10 orang pelanggan sahaja yang boleh melakukan urusan sama ada di kaunter atau ATM. Malah kaunter hanya dibuka bermula jam 9.30 pagi hingga 2 petang sahaja,” katanya – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: