Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 2 DISEMBER 2020: Sistem penarafan bintang bagi premis perniagaan yang sebelum ini dilaksanakan di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi membudayakan norma baharu pandemik COVID-19 akan diperluaskan ke seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, tujuan sistem ini dilaksanakan adalah memberi penarafan dan pengiktirafan kepada premis mengikut kriteria yang ditetapkan.
“MPK merupakan PBT pertama di negeri ini yang melaksanakan sistem penarafan bintang bagi premis perniagaan bagi membendung COVID-19 daripada terus menular membabitkan lokasi premis perniagaan.
“Kita telah melaksanakan sistem ini di MPK sejak 4 November lalu dan pihak MPK telah membuat pemeriksaan ke atas 69 premis perniagaan mengikut spesifikasi pemarkahan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Penarafan Bintang Premis Perniagaan Berkaitan Pelaksanaan Norma Baharu Semasa Pandemik COVID-19 di Hotel Zenith di sini, semalam.
YB. Dato’ Abd Rahim berkata, daripada jumlah itu, dua premis perniagaan menerima penganugerahan lima bintang kerana berjaya melaksanakan pembudayaan norma baharu COVID-19 dengan kadar pematuhan tinggi.
“Premis itu ialah Pusat Jaja Dataran Sekilau dan Hotel Zenith Kuantan yang mendapat penarafan lima bintang,” katanya.
Menurutnya, sistem rating ini diwujudkan untuk memastikan keyakinan masyarakat ke atas premis perniagaan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Contohnya dari segi pemeriksaan suhu, hand sanitizer dan rekod kemasukan premis. Ini adalah usaha MPK yang sangat teliti dan praktikal bukan sahaja semasa pandemik, bahkan untuk waktu-waktu yang lain supaya masyarakat yang datang yakin bahawa premis tersebut mematuhi SOP ditetapkan,” katanya. – PAHANGMEDIA
777 total views, 3 views today