Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 18 MAC 2020: Kerajaan Negeri Pahang meletakkan semua pasukan penguatkuasa di bawah satu perintah iaitu di bawah Ketua Polis Negeri Pahang dalam Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac nanti.
YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, pihak polis telah diberi kuasa oleh Menteri Kesihatan, YB. Datuk Seri Dr. Adham Baba untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Pasukan penguatkuasa negeri, persekutuan dan pihak berkuasa tempatan diletakkan di bawah satu command (perintah) iaitu di bawah polis kerana polis telah diberi kuasa untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan.
“Jadi pegawai-pegawai polis akan menjadi ketua kepada perlaksanaan penguatkuasaan di daerah-daerah dan dibantu oleh pegawai-pegawai penguatkuasa Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan. Jadi semua command (perintah) akan dikeluarkan oleh ketua polis daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Taklimat Khas Corona Virus (COVID-19) Negeri Pahang di Bilik Mesyuarat Kontinjen Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh sehari dua ini, pegawai-pegawai penguatkuasa negeri Pahang akan meninjau sejauh mana perlaksanaan oleh masyarakat.
“Kita akan educate mereka, akan nasihat, akan mengedarkan risalah tetapi jika keingkaran berterusan, polis diberikan kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Jadi kita meminta semua pihak sama ada orang ramai, peniaga, kakitangan awam, untuk mematuhi kawalan pergerakan ini kerana kita mahu perintah ini berkesan dan kita tidak mahu ada kes-kes baharu COVID-19 di negeri Pahang,” katanya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk meminta mana-mana pihak yang mengeluarkan surat dan arahan mengosongkan asrama dan hotel untuk menarik semula arahan tersebut.
“Semalam ada beberapa kekeliruan mengenai hotel dan asrama. Diputuskan dalam mesyuarat semalam bahawa semua asrama tidak perlu dikosongkan, hotel tidak perlu checkout.
“Jadi kalau telah ada penghuni yang sedia ada, mereka akan kekal tinggal di situ dan kita minta semua pihak yang mengeluarkan surat-surat (pengosongan) sebelum itu untuk menarik balik. Mereka (penghuni) boleh stay (tinggal) di situ dalam tempoh 14 hari ini tetapi tidak boleh merayau-rayau ke luar,” katanya.
Beliau berkata, sebarang kekeliruan mengenai sekatan perjalanan yang dilaksanakan ini akan diselesaikan setiap hari oleh Jawatankuasa Bencana Negeri Pahang.
“Any confusing kita akan clearkan everyday kerana mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri Pahang bermesyuarat tiap-tiap hari di sini.
“Jadi apa-apa confusing di peringkat daerah tolong refer kepada ketua polis daerah ataupun pegawai daerah dan bawa kepada timbalan SUK dan kita akan clearkan,” katanya.
Beliau berharap rakyat di negeri ini mematuhi perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan ini memandangkan Pahang telah merekodkan 28 kes.
“Pahang sekarang ini mempunyai 28 kes, tiga kes baru dilaporkan semalam, sebelum semalam pun tiga kes baru. Semua kes yang ada ini adalah berkaitan dengan kes terdahulu. Jadi bukan kes import. Memang kes dalaman datang dari negeri Pahang sendiri.
“Jadi apabila kes datang dari negeri ini sendiri kita bimbang dia akan merebak lebih cepat. Jadi kita minta kepada semua daripada setiap anggota masyarakat mematuhi perintah kawalan pergerakan,” katanya. – PAHANGMEDIA