COVID-19: PUSAT KONSERVASI GAJAH KUALA GANDAH DITUTUP BERMULA HARI INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : kredit (Libur)

KUANTAN, 16 MAC 2020 : Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia (Perhilitan) mengeluarkan notis penutupan sementara terhadap Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Temerloh bermula hari ini.

Notis tersebut menyatakan semua lawatan orang awam ke pusat konservasi berkenaan ditutup bagi mengekang penularan wabak COVID-19 sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Penutupan ini juga adalah selaras dengan saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah

Ketua PKGK Mohamad Khairul Adha Mat Amin ketika dihubungi UKOMP berkata penutupan ini dilakukan berikutan aktiviti yang dijalankan di pusat konservasi ini yang melibatkan tempat tumpuan ramai orang.

“Kita telah melakukan health screening (saringan kesihatan) kepada pelawat sebelum ini tetapi melihatkan keadaan aktiviti kita yang ramai orang berkumpul, kita ambil keputusan untuk jalankan penutupan sementara ini.

“Kita jangkakan penutupan sementara ini adalah selama satu atau dua bulan bergantung kepada keadaan semasa COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata setakat ini penutupan ini tidak mendatangkan masalah kepada pihak PKGK kerana pusat ini tidak menjalankan sistem tempahan.

“Setakat ini tidak ada masalah mengenai pembatalan tempahan kerana kita tidak mengamalkan sistem tempahan untuk pelawat ke sini.

“Kita juga telah buat hebahan mengenai penutupan ini kepada agensi pelancongan di sini bermula semalam,” katanya lagi.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download