Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 19 MAC 2020: Upacara tahunan penyembahan dan penyucian jiwa atau Al Pangguni Alaayam yang dijadualkan berlangsung di Kuil Sri Marathandavar, Maran pada 6 dan 7 April depan ditangguhkan.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penangguhan itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan perhimpunan ramai kira-kira 120,000 penganut di perkarangan kuil berkenaan.
“Menerusi penangguhan ini, tidak berlakulah pergerakan keluar masuk sehingga kira-kira 120,000 orang penganut di perkarangan kuil tersebut.
“Dengan itu, langkah ‘pre-emptive’ yang berkesan dapat dilaksanakan bagi membendung wabak pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak kerajaan negeri sangat menghargai keprihatinan dan persetujuan yang ditunjukkan pihak kuil berhubung penangguhan tersebut.
Tindakan ini juga diambil selaras dengan usaha kerajaan untuk menangani penularan wabak Covid-19 yang semakin bertambah di negeri ini sehingga mencecah 32 kes setakat ini.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Kuil Sri Marathandavar, En. Maruthaivelu Narayanasamy berkata, pihaknya akur dengan perintah kerajaan dan bersetuju untuk menangguhkan upacara berkenaan.
“Kami terpaksa akur upacara ini terpaksa ditangguhkan bagi mengelak perhimpunan ramai yang boleh menyumbang kepada penyebaran wabak Covid-19 yang sedang melanda negara pada hari ini,” katanya. – PAHANGMEDIA