Pengarah Keselamatan Negeri Pahang, YBrs Encik Mohd Zairasyahli Shah Zakaria (kanan) dan Ketua Polis Pahang, YDH Dato' Abd Jalil Hassan ketika memantau pemasangan kawat duri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di Kuantan hari ini.

COVID-19: PIHAK BERKUASA LAKSANAKAN KAWALAN KETAT DI SUKPA

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 DISEMBER 2020: Pihak berkuasa akan melaksanakan kawalan yang sangat ketat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di sini termasuk mengawal pergerakan keluar masuk semua pihak yang terlibat di pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 itu.

Pengarah Keselamatan Negeri Pahang, YBrs Encik Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, pelbagai persiapan telah dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuklah Kerajaan Pahang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan Tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM), pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RELA.

“Setakat ini hampir 70 peratus persiapan di SUKPA telah disiapkan dan dijangka dapat disiapkan pada hari ini bagi menerima seramai 115 pesakit COVID-19 pada hari esok.

“Masyarakat tidak perlu bimbang kerana kita melakukan kawalan yang sangat ketat di SUKPA. Setelah dipastikan semua persiapan telah sedia dan mencukupi, barulah kita bawa pesakit ke sini untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke SUKPA, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Pahang, YDH Dato’ Abd Jalil Hassan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim.

Anggota tentera memasang kawat berduri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di Kuantan hari ini.

Tambahnya lagi, SUKPA dapat menampung 140 pesakit bukan warganegara yang berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus dari Kluster Genting.

Sementara itu, YDH Dato’ Abd Jalil berkata, PDRM akan menempatkan seramai 30 ke 50 anggota bagi mengawal kawasan sekitar SUKPA bagi tempoh 24 jam setiap hari supaya pergerakan keluar dan masuk ke pusat kuarantin terkawal.

“Kami ingin yakinkan masyarakat bahawa semua pesakit akan duduk di dalam SUKPA dan akan dikawal bagi mereka mendapat rawatan sebaik mungkin daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri.

“InsyaAllah dengan kekuatan dan petugasan bantuan daripada semua pasukan sahabat, pihak polis Pahang yakin usaha merawat ini akan berjalan dengan baik dan terkawal,” katanya.

SUKPA dipilih sebagai pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 bertujuan menampung kapasiti hospital apabila keadaan memerlukan terutama ketika kes meningkat di negeri ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 2,179 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download