YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

COVID-19: PERUNTUKAN KHAS RM2 JUTA UNTUK BANTUAN GOLONGAN TERJEJAS

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 19 MAC 2020: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khas  sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan menerusi Kerajaan Negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu akan diperincikan kemudian.

“Sukacita saya maklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah memperkenalkan beberapa lagi langkah dalam menangani wabak  COVID-19 dan untuk mengurangkan beban tanggungan kepada golongan yang hilang punca pendapatan khususnya dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri yang melibatkan 2,895 penerima.

“Ini bermakna, Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac 2020 ini.

“Selain itu, bagi meringanan beban penyewa premis perniagaan PKNP, pihak PKNP akan memberikan kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga menetapkan bahawa, Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang akan tetap menerima elaun penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.   

“Bagi bersama-sama menzahirkan keperihatinan terhadap situasi yang dihadapi oleh negara kini, Kerajaan Negeri menyarankan orang ramai dan syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini supaya membuat sumbangan untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan ini.

“Mekanisme sumbangan oleh orang ramai dan syarikat-syarikat ini akan ditentukan oleh Pejabat Kewangan Negeri.

“Saya percaya, sebagai warganegara dan warga korporat yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap isu yang sedang melanda negara dan negeri, saranan ini akan disambut dengan sebaik-baiknya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: