Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucapan menjunjung kasih titah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14.

COVID-19: PERSIDANGAN DN PAHANG HANYA BERLANGSUNG 2 JAM

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 20 APRIL 2020: Persidangan Dewan Negeri (DN) Pahang hari ini hanya berlangsung selama dua jam, berikutan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Persidangan yang bermula jam 11 pagi itu tidak dihadiri jemputan luar dan kesemua Ahli Dewan Negeri (ADN) yang hadir juga perlu memeriksa suhu badan serta menggunakan pencuci tangan sebelum memasuki dewan persidangan.

YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad ketika memulakan persidangan dewan memaklumkan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah diraja merasmikan pembukaan Sidang DN menerusi sidang video.

Ahli Dewan berbahas usul Titah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, walaupun persidangan pada hari ini terpaksa dijalankan dengan cara yang ringkas, tetapi ianya merupakan satu sidang yang amat penting dan perlu untuk disempurnakan berdasarkan tempoh masa yang telah ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang.

“Saya ingin menzahirkan ucapan menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyempurnakan Titah Diraja dan seterusnya menyempurnakan Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14.

“Sesungguhnya, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebentar tadi yang dibuat melalui rakaman video, memberi makna yang amat besar dan begitu mendalam kepada patik-patik sekalian. Ini jelas membuktikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku begitu mengambil berat terhadap perjalanan dan urusan persidangan Dewan Negeri Pahang yang mulia ini,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Pahang bersurai selepas tamat Persidangan Dewan Negeri (DN) Pahang hari ini hanya berlangsung selama dua jam.

Katanya lagi, perjalanan persidangan Dewan Negeri Pahang pada hari ini perlu berlandaskan kepada Standard Operating Prosedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya dalam aspek mematuhi keperluan penjarakan sosial dan amalan penjagaan kebersihan.

“Saya bersyukur kerana segala urusan dan ketetapan yang dibuat oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua Dewan disambut baik oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dengan mematuhi sepenuhnya segala apa yang telah ditetapkan sepanjang tempoh persidangan ini berlangsung,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download