YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak sewaktu ditemubual oleh DJ RTM dalam satu temubual di Radio Pahangfm, hari ini.

COVID-19: PENGUATKUASAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DI PAHANG DIPERKETATKAN

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 20 MAC 2020: Tindakan tegas akan diambil terhadap orang ramai yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 hingga 31 Mac ini jika tertangkap oleh pihak berkuasa ketika bersantai di tempat awam atau keluar tanpa alasan kukuh.

YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, amaran mesra telah dikeluarkan selama dua hari namun masih ada yang berdegil menyebabkan penguatkuasaan lebih ketat perlu dilakukan.

“Kita melakukan pemantauan setiap hari perkembangan berkenaan status penularan COVID-19 dan sejauh mana orang ramai mematuhi perintah yang dikeluarkan.

YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

“Saya merayu orang ramai agar menjauhi tempat awam. Tinjauan polis mendapati masih ada yang keluar bersantai, jadi ini defeat the purpose..kita boleh ambil tindakan undang-undang cuma Kerajaan Negeri cuba sedaya upaya tak mahu susahkan orang dalam situasi yang sedia susah, tapi kalau terus langgar arahan mereka boleh didenda dan dipenjara.

“Anggota penguatkuasa kini digerakkan dalam jumlah lebih ramai untuk memantau tempat awam sekaligus memastikan tiada sesiapa keluar tanpa sebarang kepentingan,” katanya dalam temubual eksklusif Radio RTM, PAHANGfm, hari ini.

Sementara itu, Dato’ Sri Dr Sallehuddin berkata Kerajaan Negeri Pahang sentiasa prihatin dan komited dalam membantu golongan yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

“Kita kini sedang meneliti senarai penerima bantuan yang telah diperoleh bagi memastikan peruntukan bantuan awal sebanyak RM2 juta yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang semalam dapat disalurkan dalam tempoh genting ini.

“Golongan yang disenaraikan termasuklah peniaga kecil, penjaja, pemandu teksi yang tidak dapat mencari rezeki akibat penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata tabung bantuan turut dibuka kepada orang ramai untuk bersama-sama membantu golongan yang terkesan.

“Kita sedang berusaha supaya penderma dapat pengecualian cukai, kita harap minggu depan masa pelancaran lebih ramai dermawan akan tampil ke hadapan,” katanya.

Dalam temubual berkenaan, beliau meminta agar mereka yang mempunyai gejala atau menghadiri ijtima tabligh antarabangsa di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu tidak berdegil dan segera tampil melakukan pemeriksaan.

“Mereka tidak seharusnya takut untuk tampil membuat pemeriksaan, malah kita menyediakan pusat kuarantin untuk mereka yang disyaki atau pesakit di bawah pengawasan (PUI). Tiada sebarang bayaran dikenakan kerana segala perbelajaan keperluan petugas dan mereka ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Kita membantu mereka yang disyaki PUI, kita tahu jumlah mereka agak besar dan kita mahu bendung penularan lebih besar. Serahkan ahli keluarga mereka yang disyaki atau djangkiti agar wabak ini berakhir sepenuhnya dengan kerjasama semua pihak,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error