Pekerja Pasar Raya LYC membuat pemeriksaan suhu ke atas seorang pelanggan di Beserah hari ini.

COVID-19: PASAR RAYA LYC BESERAH HAD PELANGGAN MASUK

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 MAC 2020: Pasar Raya LYC di Beserah di sini mengambil inisiatif dengan membenarkan hanya seorang sahaja wakil setiap keluarga untuk masuk ke pasar raya berkenaan untuk membeli barang keperluan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Malah pihak pengurusan pasar raya juga melakukan saringan kesihatan dengan memeriksa suhu badan, selain turut menyediakan cecair pembasmi kuman (sanitiser) untuk kegunaan pelanggan.

Pekerja Pasar Raya LYC di Beserah di sini membuat kerja-kerja kerja-kerja pembasmian kuman pada lantai.

Menurut seorang pekerja pasar raya berkenaan, Amirul Azizi Mohd Zamri, 18, inisiatif itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan hingga 14 April ini bagi mencegah penularan COVID-19.

“Kita laksanakan inisiatif ini sejak Sabtu lalu… Pada satu-satu masa kita hanya benarkan 40 orang sahaja pelanggan masuk ke pasar raya untuk membeli barang.

“Kita ada sistem yang menggunakan kad di mana akan diberikan kepada pelanggan yang datang. Jika cukup 40 orang, pelanggan yang lain perlu beratur di luar dahulu,” katanya ketika ditemui di pasar raya berkenaan hari ini.

Pekerja Pasar Raya LYC meletakkan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan yang ingin memasuki premis mereka.

Katanya lagi, kanak-kanak juga tidak dibenarkan masuk ke pasar raya kerana mereka mudah dijangkiti penyakit.

“Pekerja juga ada membuat kerja-kerja pembasmian kuman pada troli, di pintu masuk dan persekitaran pasar raya tiga kali setiap hari bagi memastikan pasar raya ini bebas COVID-19,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, masih ada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan inisiatif yang dilaksanakan pengurusan pasar raya ini walaupun ia bertujuan untuk kebaikan mereka.

“Namun selepas diterangkan, mereka akur dan mengikut arahan yang diberikan oleh pihak pengurusan pasar raya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: