COVID-19: PAHANG TINGKAT PENGUATKUASAAN PEMATUHAN SOP

COVID-19: PAHANG TINGKAT PENGUATKUASAAN PEMATUHAN SOP

KUANTAN, 17 DISEMBER 2020: Jawatankuasa Bencana Negeri Pahang akan mengambil langkah pro aktif untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dengan meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP terutamanya di sekitar daerah ini.

Menerusi kenyataan media, jawatankuasa itu memaklumkan Negeri Pahang pada ketika ini mencatatkan peningkatan kadar jangkitan COVID-19 terutamanya di Daerah Bentong dan Daerah Kuantan.

Menurut kenyataan itu, terdapat lima kluster yang aktif di daerah Kuantan iaitu Kluster Atabara dan Kluster Inten (di sekitar kawasan Indera Mahkota), Kluster Kuala (di sekitar kawasan pusat bandar) dan Kluster Kristal (di sekitar Sg. Karang Darat) dan Kluster Padang (sekitar Kg. Padang dan Jalan Besar).

“Sejumlah 75 orang telah dikompaun dari 13 hingga 15 Disember 2020 ekoran daripada kegagalan mematuhi SOP dan antaranya ialah tidak mengimbas QR Code My Sejahtera, tidak memakai pelitup hidung dan mulut dalam premis, serta tidak mengimbas suhu ketika masuk ke premis,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu tindakan penguatkuasaan tegas akan dikenakan ke atas premis-premis yang gagal mematuhi SOP malah dalam minggu ini terdapat premis-premis yang telah diarahkan tutup kerana pengusaha gagal untuk mematuhi SOP yang ditetapkan termasuklah restoran berjenama terkenal di Teluk Cempedak.

Kenyataan itu menyebut, tempat-tempat yang menjadi tumpuan umum seperti kompleks membeli-belah, restoran-restoran dan lain-lain tempat perniagaan perlu memperketatkan pematuhan SOP di kalangan pengunjung bagi mengelakkan kompaun dikeluarkan.

“Penguatkuasa juga akan memeriksa kediaman pekerja restoran, kilang dan pembinaan. Sekiranya didapati boleh menyebabkan penularan penyakit, tindakan sewajarnya juga akan diambil,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, jawatankuasa masjid dan pentadbir rumah-rumah ibadat bukan islam juga diingatkan untuk memastikan pengunjung-pengunjung yang hadir mematuhi SOP yang telah digariskan.

Dalam pada itu penganjur-penganjur dan tuan-tuan rumah majlis kenduri dan keramaian diminta mematuhi SOP seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Selain daripada itu, bermula mulai 18 hingga 31 Disember 2020 semua jabatan di Negeri Pahang dalam daerah Kuantan tidak dibenarkan mengadakan program yang melibatkan orang ramai manakala urusan di kaunter-kaunter yang melibatkan orang ramai dalam daerah Kuantan akan dikurangkan dan menggunakan sistem temujanji bagi mengelakkan kehadiran orang ramai pada satu-satu masa.

Orang ramai juga diseru untuk mengurangkan aktiviti perkumpulan yang tidak perlu dan sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan mencuci tangan dengan kerap, penjarakan fizikal satu meter, memakai pelitup muka terutama semasa berada di tempat awam, elakkan kawasan sesak, elakkan kawasan sempit dan elakkan bertutur atau bersembang dengan jarak yang dekat.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 2,506 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download