COVID-19: PAHANG CATAT KEMATIAN KEDUA

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 17 April 2020: Negeri Pahang mencatatkan kematian kedua akibat jangkitan COVID-19 melibatkan seorang warga emas lelaki berusia 85 tahun, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Awang Ngah berkata, mangsa yang menghidap kanser darah telah mendapatkan rawatan awal di salah sebuah hospital di Kuantan sebelum dirujuk ke HTAA pada 14 April lepas.

“Selepas dirujuk pada 14 April, mangsa disahkan meninggal dunia pada 15 April,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Tambahnya, mangsa yang berasal dari Air Putih, Kuantan itu merupakan dari kluster Bali.

Dalam pada itu, Dato’ Dr. Haji Bahari turut memaklumkan kes yang sembuh di negeri ini telah melebihi 50 peratus daripada jumlah kesuluruhan kes yang dilaporkan.

“Walau bagaimanapun, penduduk di Kuantan masih perlu mematuhi arahankerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi fasa 3 yang berakhir 28 April depan,” katanya.

Beliau menyatakan kekesalan kerana rakyat di Kuantan seakan-akan tidak lagi mematuhi PKP seperti mana fasa pertama dan kedua sekali gus bimbang sekiranya berlaku peningkatan kes beberapa minggu lagi.

Sehingga semalam, Pahang mencatatkan 261 kes positif Covid-19 dengan 128 kes yang masih aktif, manakala 132 pula kes telah sembuh. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download