Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 22 MAC 2020: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyalurkan Bantuan Khas sebanyak RM1,000 kepada keluarga pesakit COVID-19 di negeri ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beritah, sumbangan bantuan ini bagi meringankan beban keluarga mangsa COVID-19.
“Selain itu, bantuan berjumlah RM250,000 turut disalurkan kepada Kerajaan Negeri bagi membantu pihak-pihak tertentu yang memerlukan bantuan untuk mendepani isu wabak ini.
“Kita juga memberi tambahan sebanyak RM200 kepada 3,030 orang penerima bantuan bulanan zakat (akan terus dimasukkan ke dalam akaun),” titah baginda dalam satu kenyataan semalam.
Baginda yang Yang Dipertua MUIP bertitah, pihaknya juga memberi tambahan sebanyak RM200 kepada 9,664 orang penerima bantuan tahunan zakat yang akan terus dimasukkan ke dalam akaun.
“MUIP juga menyumbangkan sebanyak 20 set alat bantuan pernafasan (mesin tabung oksigen) kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh dan Hospital Kuala Lipis, selain sumbangan peralatan screening kepada ketiga-tiga hospital itu,” titah baginda.
Baginda turut menyeru kepada semua GLC, Badan Korporat, NGO dan individu yang berkemampuan untuk bersama-sama menyumbang kepada tabung yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri. – PAHANGMEDIA