COVID-19: MINIMUMKAN MASA AKAD NIKAH DAN URUS JENAZAH

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 21 MAC 2020: Semua urusan berkenaan pengurusan jenazah serta akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18 hingga 13 Mac hendaklah dilakukan seringkas mungkin, kata YH Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha.

Menurutnya, semua perkara yang ditegaskan ialah sesuatu yang tidak dapat dielak dan perlu diuruskan mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

“Semua maklum bahawa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, tiada kebenaran berkahwin dikeluarkan oleh JAIP dan kami turut menasihatkan agar mereka yang telah mendapat kebenaran sebelum tempoh kawalan tersebut agar menangguhkan majlis masing-masing.

YH Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha.

“Bagaimanapun sekiranya mahu meneruskan majlis, kita mohon mereka mendapatkan kebenaran daripada Ketua Polis Daerah serta memenuhi syarat dan tatacara yang ditetapkan.

“Selain itu, mereka perlu memendekkan majlis akad nikah iaitu tidak melebihi 20 minit dan dihadiri tidak lebih 10 orang yang menggunakan hand sanitizer (penyahkuman) sebelum dan selepas majlis akad nikah,”katanya ketika temubual eksklusif di Radio RTM, PAHANGfm pagi tadi.

Sementara itu, Dato’ Syed Ahmad Fuad memberi penjelasan berkenaan pengurusan jenazah bukan pesakit COVID-19 yang turut perlu mematuhi tatacara yang ditetapkan.

“Jenazah boleh diuruskan di rumah tetapi perlu memastikan jumlah kehadiran adalah minimun, kalau boleh hanya di kalangan ahli keluarga sahaja yang telah mengisytiharkan diri mereka sihat.

“Tiga hingga lima orang sahaja dibenarkan menguruskan jenazah termasuk memandikan dan mengkafankan jenazah, manakala solat jenazah juga perlu dilakukan di rumah dan bukan di surau atau masjid,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pengurusan jenazah perlu dilakukan di masjid, hanya 11 orang sahaja dibenarkan di mana lima orang sahaja terlibat proses pengurusan. Solat jenazah juga dilakukan di bilik pengurusan jenazah dan bukan di ruang solat masjid. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error