Seorang kakitangan membersihkan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

COVID-19: MASJID DI PAHANG PATUH ARAHAN KERAJAAN

Oleh: Fansurina Abdullah                                                                                                      Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 18 MAC 2020: Semua masjid di Pahang perlu mematuhi arahan supaya menangguhkan aktiviti di surau dan masjid termasuklah Solat Jumaat serta solat berjemaah bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman berkata, dalam situasi sekarang di mana jumlah kes COVID-19 semakin bertambah, adalah dibenarkan oleh syarak untuk tidak melakukan solat jemaah dan Jumaat kerana wujudnya keuzuran bagi yang sakit serta takut sekiranya jemaah dijangkiti wabak tersebut.

Justeru beliau berkata, semua program seperti solat jemaah, Solat Jumaat, kelas agama termasuklah kuliah harian ditangguhkan dalam tempoh perintah tersebut iaitu bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan yang kosong hari ini selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selepas Perdana Menteri, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kelmarin, semua masjid di negeri ini sudah bersedia untuk memberi kerjasama yang sepatutnya.

Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman

“Kesemua masjid perlu patuh kepada arahan yang dibuat oleh kerajaan demi mengawal penyebaran wabak COVID-19 ini agar tidak berjangkit kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh tersebut sekiranya mana-mana masjid ingin melakukan kerja-kerja pembersihan dan membasmi kuman, boleh mendapatkan nasihat dan bantuan daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang.

“Jawatankuasa masjid boleh berhubung dengan pihak JKN sebelum memulakan kerja-kerja pembersihan dan membasmi kuman supaya usaha tersebut dapat dilakukan dengan cara yang betul dan benar-benar membasmi virus dan kuman,” katanya.

Beliau juga meminta jemaah supaya memahami dan mematuhi arahan daripada kerajaan supaya mengelak aktiviti berkumpul beramai-ramai termasuklah aktiviti di masjid. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download