Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 28 SEPTEMBER 2020: Lima masjid dan sebuah surau di daerah Jerantut dan Kuantan ditutup sementara bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Empat masjid di daerah Kuantan adalah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap, Masjid Othman Ibnu Affan Bukit Rangin, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid al-Hidayah Paya Besar.
Di daerah Jerantut pula adalah membabitkan Masjid Tengku Ahmad dan Surau Rumah Kos Rendah Jerantut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penutupan masjid dan surau berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Task Force yang dipengerusikan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.
Katanya, justeru Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diminta untuk meneliti keperluan untuk mengarahkan masjid sekitar rumah individu yang disahkan positif COVID-19 ditutup sementara.
“Kita laksanakan penutup ini adalah bagi mengelak berlaku penularan atau jangkitan kes disebabkan berada bersama individu yang positif COVID-19 yang terdapat disekitar kawasan terbabit.
“Namun saya berharap orang ramai supaya tidak panik dengan penutupan masjid ini kerana pihak berkuasa kini sedang mengambil langkah pencegahan seperti yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini tiada sekolah di negeri ini ditutup berikutan penularan wabak COVID-19. – PAHANGMEDIA