Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin

COVID-19: LAKSANA SITUASI MENANG-MENANG UNTUK PULIH SEKTOR EKONOMI, PELANCONGAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 1 DISEMBER 2020: Kerajaan Pusat sewajarnya memikirkan situasi menang-menang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ia perlu dilaksanakan mengikut daerah serta tidak melibatkan seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, sebagai contoh, jika sesebuah daerah itu merah atau kuning, hanya kawasan terlibat perlu dikenakan PKPB.

“Jika PKPB seluruh negara atau negeri, ia akan melibatkan kesan kepada ekonomi, ramai yang akan hilang pekerjaan dan ramai peniaga kecil akan terkesan ekoran pelaksanaan PKPB.

“Begitu juga sektor pelancongan juga akan terjejas, saya berikan contoh di Pahang, industri pelancongan di negeri ini berhadapan cabaran cukup besar apabila kehilangan kira-kira 1.05 juta pelancong sebulan sejak Mac 2020,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, kehilangan pelancong mendadak itu amat membimbangkan kepada semua industri pelancongan sekali gus memberi kesan kepada pencapaian sasaran 15 juta pelancong tahun ini.

“Bagaimanapun, Kerajaan Pahang sangat komited dalam memastikan industri pelancongan di negeri ini bangkit dan berdaya saing dengan merancang pelbagai inisiatif bagi meningkatkan semula kemasukan pelancong khususnya bagi pelancongan domestik.

“Misalnya dalam pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Pahang, Menteri Besar, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi 16 projek di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan 2020 meliputi setiap Daerah di Negeri Pahang,” katanya.

Katanya lagi, beliau berpandangan adalah sewajarnya kerajaan hanya melaksanakan PKPB di kawasan merah dan kuning sahaja kerana penting bagi merancakkan kembali ekonomi negara serta memulihkan kembali sektor pelancongan.

“Sektor pelancongan perlu dipulihkan segera kerana ramai pemain industri ini yang terkesan ekoran pelaksanaan PKP bermula 18 Mac 2020. Mereka sudah cukup menderita dan menanggung kerugian jutaan ringgit ekoran kehilangan pelanggan.

“Sektor ini perlu dirancakkan kembali dan pelaksanaan PKPB secara menyeluruh di seluruh negeri bukan cara terbaik. Industri pelancongan khususnya pemain-pemain industri itu perlu situasi menang-menang agar nasib mereka terbela,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 850 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download