Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 30 MEI 2020: Kementerian Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyelaras sumbangan daripada 2,760 badan bukan kerajaan (NGO) dan badan lain untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan akibat pandemik COVID-19.
Menterinya, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia membabitkan nilai sebanyak RM20.96 juta dan telah memberi manfaat kepada seramai 401,130 penerima.
Katanya, jumlah itu adalah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 18 Mac hingga 21 Mei lalu.
“Peranan yang dilaksanakan oleh JKM ini adalah serentak dengan tanggungjawab menyelaraskan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar melalui peruntukan kerajaan dan Tabung COVID-19.
“Bantuan NGO dan badan lain merupakan tambahan kepada bantuan bakul maknan yang disalurkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Sebelum itu beliau hadir menyerahkan Bantuan Geran JKM 2020 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman di Kempadang di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Binti Shamsuddin dan Pengarah JKM Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.
Sebelum ini, Kerajaan Pahang juga pernah menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman.
Menurutnya lagi, jumlah keseluruhan penerima manfaat sumbangan yang diselaraskan oleh JKM melalui bantuan kerajaan dan sumbangan NGO dianggarkan berjumlah 2.079 juta isi rumah.
“Kementerian amat menghargai kerjasama dan sumbangan NGO serta badan lain bagi membantu kerajaan dalam meringankan beban golongan sasar yang terkesan sepanjang tempoh PKP dan PKPB.
“Diharapkan agar pihak NGO dan badan-badan lain ini akan terus bersama-sama kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya. – PAHANGMEDIA