KUANTAN, 04 JANUARI 2021: Satu kes positif COVID-19 dikesan di daerah Cameron Highlands dan pengesanan terhadap semua kontak secara aktif dan kontak-kontak rapat telah dikesan bagi pengasingan serta ujian saringan.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands juga telah mengenalpasti tempat-tempat yang dikunjungi pesakit.
“Notis Perintah Tutup Premis juga telah dikeluarkan bagi tujuan pelaksanaan aktiviti nyah kuman dan nyah cemar.
“Justeru, tiada sebarang arahan untuk jalankan ujian pengesanan COVID-19 di klinik kesihatan seperti yang ditularkan di aplikasi WhatsApp dan Facebook,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, masyarakat turut dinasihatkan agar tidak cemas dan menyebarkan berita palsu yang tidak benar sehingga mengundang kebimbangan di kalangan masyarakat setempat.
“Orang ramai perlu mendapatkan maklumat daripada sumber sahih berkenaan situasi semasa COVID-19 melalui Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) di talian 09-5707985/7988 atau melalui cprc_pahang@moh.gov.my.
“Layari laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang atau saluran telegram CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia https://t.me/cprckkm bagi mendapatkan maklumat tepat berkenaan situasi COVID-19 di negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA
2,298 total views, 3 views today