Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi dan Videografi di Kompleks Ibu Pejabat MPK, Kuantan.

COVID-19: KERAJAAN PAHANG LAKSANA PELBAGAI INISIATIF BANTU PENGIAT PELANCONGAN TERJEJAS

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 22 OKTOBER 2020: Kerajaan Pahang telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu penggiat industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 seperti menyediakan rebat menerusi aplikasi PahangGo bagi mendapatkan diskaun di hotel-hotel terpilih.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, penularan wabak COVID-19 memberikan kesan yang besar terhadap sektor pelancongan yang mengalami kemerosotan ketara ekoran penularan wabak pandemik tersebut.

“Pada tahun lepas, Negeri Pahang merekodkan kedatangan pelancong seramai 13 juta orang di mana dua juta daripada jumlah itu telah berkunjung ke daerah Kuantan. Bagaimanapun, sektor pelancongan negeri Pahang telah kehilangan kira-kira 1.05 juta pelancong dan kekurangan hasil hampir mencecah RM1 juta setiap bulan sejak Mac 2020.

“Justeru Kerajaan Pahang giat melaksanakan inisiatif pemulihan dan menaiktaraf beberapa lokasi pelancongan seperti Cameron Highlands dan Tanjung Gemok di Rompin yang merupakan pintu masuk ke Pulau Tioman agar lebih lestari dari sudut pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Hi-Tea bersama Jurufoto, Blogger dan Media serta Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pertandingan Fotografi dan Videografi di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini, semalam.

Hadir sama ialah Yang Dipertua MPK, YH. Dato’ Hamdan Hussin, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Idros Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, YH. Dato’ Ishak Mokhtar.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar MPK mewujudkan Galeri Pelancongan Negeri Pahang bagi menempatkan hasil seni fotografi menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh MPK agar dapat dikongsi bersama masyarakat.

“Semua agensi terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seharusnya memainkan peranan yang proaktif dalam memajukan sektor pelancongan di kawasan masing-masing sebagai usaha menjana sosio ekonomi setempat.

“Sekiranya seluruh PBT Negeri Pahang mengambil langkah seperti yang diusahakan MPK, saya percaya tidak mustahil Pahang mampu melepasi sasaran Pasca Covid-19 dengan mencatatkan kedatangan sebanyak 15 juta pelancong setahun,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: