YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak

COVID-19: KERAJAAN PAHANG AMBIL TINDAKAN TUTUP PREMIS JIKA LANGGAR HAD MASA OPERASI, SOP PKPP

KUANTAN, 28 OKTOBER 2020: Mana-mana premis yang didapati melanggar had masa operasi dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri, pihak berkuasa tempatan boleh mengenakan tindakan menutup premis tersebut. 

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, bagi kesalahan pertama, premis tersebut boleh ditutup selama tiga hari dan bagi kesalahan kedua pula boleh ditutup selama tujuh hari manakala penutupan selama 14 hari bagi kesalahan ketiga.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, penguatkuasaan tindakan ini adalah berdasarkan peruntukkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Pada ketika ini, kadar jangkitan COVID-19 di Negeri Pahang adalah terkawal.

“Tindakan ini merupakan langkah tambahan PKPP Negeri Pahang dan ia berkuatkuasa serta-merta sehingga dimaklumkan kelak sebagai usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, mana-mana premis yang didapati mempunyai kes positif COVID-19 akan ditutup selama tiga hari untuk untuk kerja-kerja sanitasi manakala premis yang dihadiri oleh kontak rapat kes positif COVID-19 melebihi 10 peratus akan diarahkan tutup selama 14 hari.

Bagi perhimpunan dan majlis kenduri atau keraian, Dato’ Sri Dr Sallehuddin menjelaskan kehadiran untuk mana-mana perhimpunan atau majlis tersebut dihadkan kepada 100 orang pada satu-satu masa.

Beliau berkata. Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak polis akan melakukan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan termasuk tangkapan terhadap penganjur atau tuan rumah majlis tersebut.

“Bagi kenduri perkahwinan, penganjur atau tuan rumah hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu untuk mengadakan majlis kenduri kahwin menggunakan borang yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) melalui Pejabat Agama Daerah masing-masing.

“Bagi upacara keraian perkahwinan bukan Islam permohonan boleh dibuat melalui Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, Pihak Berkuasa Tempatan akan membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas setiap premis perniagaan dan akan melaksanakan penarafan bintang bagi menggalakkan pematuhan SOP di sepanjang tempoh PKPP mulai 29 Oktober 2020. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error