YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

COVID-19: KEJAYAAN PAHANG DIISYTIHAR ZON HIJAU HASIL KERJASAMA SEMUA PIHAK

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 3 JULAI 2020: Kejayaan Negeri Pahang yang diisytiharkan sebagai zon hijau, iaitu kawasan yang bebas COVID-19 adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk pelbagai agensi kerajaan dan barisan petugas hadapan yang bertungkus lumus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustai’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Petugas kesihatan yang sentiasa bertungkus lumus merawat pesakit COVID-19. – Foto Viral

“Selain itu, ucapan terima kasih juga kepada kepimpinan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, barisan EXCO Kerajaan Negeri yang banyak memberi sokongan dalam menangani isu COVID-19.

“Kita bersyukur walaupun Pahang bersempadan dengan negeri yang berisiko tinggi, tetapi jumlah kes COVID-19 masih rendah. Ini kerana kita mendapat sokongan penuh daripada petugas barisan hadapan, sukarelawan, kakitangan awam, rakyat dan peniaga,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) dalam Program Bicara Pahang di sini hari ini.

Pahang berjaya mencatatkan sifar kes pada 23 Jun lalu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 365 kes dan tujuh kematian.

Dato’ Sri Dr. Sallehuddin berkata, ada beberapa tindakan yang dilaksanakan oleh pihaknya dalam menangani pandemik COVID-19 ini termasuk melaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri pada 17 Mac iaitu sehari sebelum PKP dilaksanakan.

“Kita gerakkan jawatankuasa ini kerana kita sudah menjangkakan negara akan berhadapan dengan bencana yang besar.

“Jadi semua jabatan di negeri ini seperti polis, Jabatan Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pegawai Daerah terlibat mulai 17 Mac lagi.

“Jawatankuasa berkenaan mengadakan mesyuarat setiap hari sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita melaksanakan mesyuarat tiga kali seminggu,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan membuat penilaian apa yang berlaku setiap hari dan jika ada kes, tindakan serta merta akan diambil.

“Banyak saat kritikal yang kita lalui sebangai contoh di Sungai Salan, Jerantut di mana ia adalah kluster terbesar dan Alhamdulillah kluster berkenaan tidak menjangkiti seorang pun masyarakat dari luar sekolah berkenaan.

“Ada beberapa lagi saat kritikal kita seperti di Muadzam Shah dan kluster Bali, namun kita berjaya mengekang jangkitan kerana mengambil tindakan dengan serta merta,” jelasnya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: