Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

COVID-19: KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG TITAH MASJID ADAKAN SOLAT HAJAT

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 16 OKTOBER 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan semua masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan Allah SWT supaya penularan wabak COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah Seri Paduka Baginda ini berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawasan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

“Lantaran itu, Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi SOP serta tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara yang dicintai ini dikurniakan keamanan agar kemakmuran serta kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin.

“KDYMM Yang di-Pertuan Agong juga menasihati rakyat, khususnya ahli politik untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat wabak COVID-19.

“Seri Paduka Baginda juga mengulangi titah nasihat kepada Ahli Parlimen semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

“Seri Paduka Baginda menegaskan ahli-ahli politik perlu mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub dalam Perlembangan Persekutuan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 157 total views