Dua lelaki (kanan dan dua kanan) ditahan reman bagi siasatan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan di Pekan, hari ini.

COVID-19: DUA LELAKI LANGGAR PKP DITAHAN REMAN

Oleh: Fairus Mohd

PEKAN, 26 Mac 2020: Dua lelaki termasuk remaja berusia 16 tahun ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Azizah Ahmad bermula hari ini hingga 30 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Yusof berkata kes pertama melibatkan remaja lelaki berusia 16 tahun yang cuba membuat helah ketika ditangkap sedang bermain sepak takraw di Perumahan Komuniti Bersepadu Kuala Pahang, petang semalam.

“Ketika dihampiri sepasukan anggota Pemantau Team Charlie dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pekan di dalam penugasan OP COVID-19 pada jam 7.20 petang semalam, beberapa remaja yang sedang bermain melarikan diri di celah-celah rumah penduduk. Namun, pihak polis berjaya menangkap remaja berkenaan yang memberi alasan mahu membeli ubat di kedai berdekatan.

“Kita kemudiannya menahan remaja tersebut selepas gagal memberi keterangan yang munasabah dan kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Menurut Superintendan Mohd Razli, tangkapan kedua telah dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 26 tahun yang turut disiasat di bawah seksyen sama.

“Lelaki yang menaiki motosikal itu ditahan dan diperiksa ketika melalui sekatan jalan raya di Kilometer 12 Jalan Pekan-Kuantan pada pukul 9.30 malam, semalam.

“Ketika disiasat, dia mengaku baru pulang melepak dan bermain badminton di rumah kawannya di Kampung Langgar sebelum kemudiannya ditahan kerana perbuatannya dipercayai dengan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan perlanggaran Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan bagi memastikan usaha membasmi penularan penyakit COVID-19 berjaya dilakukan.

“Pihak polis akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang masih ingkar,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: