YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak (kanan) bersama Pengarah Eksekutif TMG, YH. Dato’ Chin Yoke Choon melihat barang keperluan yang akan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin Dan Rawatan COVID-19 di SUKPA dalam satu majlis tanggung sosial korporat oleh TMG di Kuantan, hari ini.

COVID-19 DI PAHANG TERKAWAL

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 DISEMBER 2020 : Kadar kes COVID-19 di negeri ini masih terkawal kerana setiap kes yang disahkan positif berada dalam jangkaan pihak berkuasa.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, kebanyakan kes yang berlaku di negeri ini sebahagian besar melibatkan pekerja warga asing yang kebanyakan tinggal di asrama tempat mereka bekerja.

Malah katanya, kebanyakan kes yang berjaya dikesan juga telah dikenalpasti lebih awal dan semua kontak mereka juga berjaya dikesan.

“Kontak rapat ini bukan sahaja dikesan oleh pihak berkuasa dan kesihatan, malah ada antara mereka yang datang ‘menyerah diri’ kepada pihak kesihatan untuk melakukan pemeriksaan dan saringan COVID-19.

“Sikap dan tindakan ini harus mendapat pujian kerana keberanian dan tidak bertindak melarikan diri atau sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tunas Manja Group (TMG) kepada Petugas Barisan Hadapan dan Pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) SUKPA di Pejabat Urusan TMG Indera Mahkota, di sini, hari ini.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak menerima sumbangan barangan makanan dan keperluan kepada petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin Dan Rawatan COVID-19 di SUKPA daripada Pengarah Eksekutif TMG, YH. Dato’ Chin Yoke Choon pada majlis tanggung sosial korporat di Kuantan, hari ini.

Pada majlis itu, TMG menyumbangkan barangan makanan dan keperluan kepada petugas barisan hadapan dan pesakit di PKRC Sukpa berjumlah RM15,000.

Katanya, kes COVID-19 juga dilihat sudah berkurangan sejak beberapa hari lalu hasil usaha pelbagai pihak termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia (JBPM) pasukan Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TMG, YH. Dato’ Chin Yoke Choon berkata, TMG bertanggungjawab membantu pihak kerajaan dengan menghulurkan bantuan CSR yang telah diberikan kepada masyarakat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac lalu.

“TMG sentiasa menyokong usaha kerajaan Pahang dalam mendepani wabak pandemik COVID-19 dengan kesediaan memberikan pelbagai bantuan kepada barisan yang terlibat,” katanya.

Sejak PKP, TMG telah menyumbangkan bantuan berjumlah lebih RM150,000 termasuklah bantuan keperluan seperti makanan dan voucher kepada golongan B40 bagi meringankan bebanan mereka dalam mendapatkan keperluan asas di rumah ketika PKP. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download