YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak ketika ditemubual menerusi program Bicara Pahang bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

COVID-19 DI PAHANG MASIH TERKAWAL

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 26 JANUARI 2021: Biarpun kes COVID-19 mencatat angka peningkatan saban hari, namun ratio di peringkat kebangsaan menunjukkan peningkatan kes di negeri Pahang adalah terkawal.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak berkata, Pahang mencatatkan 2664 kes setakat hari ini dengan 22 kluster aktif melibatkan 14 kematian di mana dua sahaja kematian berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah kedua-duanya kes dari luar (Pahang).

“Ini bermakna dalam PKP 1.0 (kes kematian) lebih tinggi walau angka jangkitan rendah. Kita lihat kebanyakan kes di Pahang tidak bergejala dan ketika PKP 2.0 sedang dikuatkuasakan kini, kita dapat lihat kes positif yang dicatatkan tertumpu kepada kes dari luar negeri.

“Kes tularan di negeri Pahang adalah rendah dan lebih cepat dikesan kerana berlaku dalam keluarga atau orang terdekat. Jumlah pesakit yang dapat diselamatkan lebih tinggi daripada PKP 1.0 dengan fasiliti dan tenaga barisan hadapan yang mencukupi serta berpengalaman menghadapi gelombang kedua dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika temubual eksklusif dalam program Bicara Pahang bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan cadangan penambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini, beliau berkata tiada keperluan setakat ini.

“Sekarang kita telah ada tiga buah PKRC yang boleh menampung 721 orang pesakit dalam satu masa dan nampaknya ia sudah mencukupi kerana masih tidak digunakan sepenuhnya (hanya 35.5 peratus) dan kadar tularan tidak menunjukkan sebarang kenaikan ketara.

“Namun begitu, sebagai persediaan juga Kerajaan Negeri telah menyenaraikan satu lagi PKRC tambahan iaitu di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) di Bukit Tinggi yang menempatkan 200 buah katil,” katanya yang turut mengakui keperluan fasiliti dan hospital juga masih mencukupi dalam merawat pesakit di Pahang.

Sementara itu, Dato’ Sri Salehuddin berkata pada keseluruhannya PKP yang dilaksanakan di negeri ini tidak banyak beza dengan PKPB sebelum ini di mana pejabat, premis perniagaan boleh beroperasi namun dengan syarat lebih ketat.

“Saya ingin jelaskan kenapa masih boleh beroperasi dengan syarat ketat… Ini kerana penularan wabak berlaku bukanlah berpunca di tempat kerja, tempat ibadah atau tempat awam tetapi hampir semua berjangkit dari luar sama ada orang dari zon merah datang ke Pahang atau orang Pahang sendiri yang pergi melawat ke zon merah serta pulang ke negeri ini.

“Diakui juga, PKP di Pahang agak ‘ringan’ berbanding negeri lain kerana kita telah lihat secara terperinci pematuhan yang amat baik di kalangan rakyat negeri ini termasuk jumlah anggota penguatkuasaan yang mencukupi,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Pahang kini berusaha memperkasakan komuniti melalui program-program melibatkan penguatkuasakan peraturan yang ditetapkan dengan menjadikan mereka mata dan telinga pihak yang diberi kuasa untuk memastikan pelanggaran SOP dapat ditangani dengan segera. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download