Gambar hiasan

COVID-19: AZAN TETAP DILAUNGKAN SEPERTI BIASA DI MASJID DAN SURAU SELURUH PAHANG

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 17 MAC 2020 : Azan tetap akan dilaungkan seperti biasa di masjid dan surau di seluruh negeri ini walaupun semua aktiviti keagamaan ditangguhkan di seluruh negara.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman dalam satu kenyataan berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang telah bersidang pada hari ini.

“Semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula 18 hingga 31 Mac 2020, namun azan hendaklah dilaungkan setiap waktu.

Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman

“Semua umat Islam di negeri ini disarankan untuk menunaikan solat jemaah di rumah masing-masing. Tempoh 13 hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan juga turut mengeluarkan garis panduan bagi pengurusan jenazah mangsa virus COVID-19 di negeri ini.

“Sekiranya berlaku kematian akibat COVID-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 14 Mei 2015 mengenai hukum pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia.

“Kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada yang menguruskan jenazah. Jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayamum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, perihal ini terpakai di seluruh negeri Pahang dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: