Pihak berkuasa di daerah ini mempergiatkan penguatkuasaan atau memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh kawasan. - GAMBAR HIASAN

COVID-19: 95 PERATUS MASYARAKAT PAHANG PATUH ARAHAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

KUANTAN, 22 MAC 2020: Sepanjang lima hari Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, didapati 90 hingga 95 peratus masyarakat di Pahang mematuhi arahan tersebut.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya masih lagi mengambil pendekatan amaran mesra terhadap mereka yang masih lagi ingkar.

“Kami seboleh-bolehnya tidak mahu mengambil tindakan keras memandangkan sudah ramai masyarakat Pahang mematuhi dan menuruti Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Bagaimanapun jika masih lagi ingkar selepas ini, kami akan mengambil tindakan di bawah kesalahan kesihatan (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) yang mana mereka ini boleh didenda dan dipenjarakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek di sini hari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak turut hadir meninjau sekatan tersebut.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy wan Ismail (tiga kiri) bersama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak (dua kiri) dan Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Abd Jalil Hassan (kiri) meninjau sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek, Kuantan, hari ini.

Dato’ Abd Jalil juga berkata, seramai 6,500 anggota polis dan 1,500 anggota tentera bertugas dalam memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di Pahang.

Beliau berkata sepanjang pelaksanaan perintah itu sehingga 31 Mac ini, kedua-dua pasukan keselamatan itu bekerjasama dalam 37 sekatan jalan raya yang dibuat 24 jam bagi memastikan orang awam tidak keluar rumah tanpa sebab kukuh.

“Sekatan jalan ini melibatkan semua laluan utama ke bandar atau kawasan tumpuan masyarakat selain turut melibatkan rondaan dan tinjaun di premis perniagaan dan lokasi tumpuan ramai,” katanya.

Dato’ Abd Jalil juga memaklumkan pihaknya telah mengesan 350 individu yang menyertai program tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: