COVID-19: 86 DITAHAN SEPANJANG PKP DILAKSANA DI PAHANG

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 29 Mac 2020 – Pasukan Polis Kontinjen Pahang telah menangkap seramai 86 orang sepanjang 10 hari dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 28 Mac lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC Dato’ Othman Nanyan berkata, kesemua ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah Peraturan 7 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (akta 342).

“Keduanya atas kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan penyakit berbahaya kepada nyawa orang lain dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media di Kuantan, hari ini.

Sepanjang tempoh tersebut, pihak polis juga telah membuka 43 kertas siasatan di mana sebanyak enam kes akan dituduh di mahkamah pada 30 dan 31 Mac depan di beberapa daerah.

Pada hari esok, seramai enam orang kena tuduh (OKT) akan didakwa di mahkamah dengan Lipis dan Pekan masing-masing dengan dua kes dan Raub dengan satu kes.

Manakala pada 31 Mac pula, seramai dua OKT akan dituduh di mahkamah daerah Temerloh dengan satu kes.

“Sehubungan itu pihak polis menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan susulan perlaksanaan PKP bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau juga mengingatkan, pihak polis boleh mengambil tindakan bagi sebarang pelanggaran arahan di bawah PKP dan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh orang ramai. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download