Pengarah Keselamatan Negeri Pahang, Encik Mohd Zairasyahli Shah Zakaria.

COVID-19: 144 PESAKIT KLUSTER JALAN GENTING DIHANTAR KE MAEPS SERDANG

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 14 DISEMBER 2020 : Seramai 144 pesakit COVID-19 di kalangan bukan warganegara dari Kluster Jalan Genting telah dihantar ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang untuk dikuarantin dan diberi rawatan.

Pengarah Keselamatan Negeri Pahang, Encik Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, kesemua mereka telah dibawa ke MAEPS Serdang pada semalam dengan menaiki lima buah bas.

“Sehingga kini semua pesakit telah dikuarantin di Stadium Tertutup SUKPA di Kuantan dan (MAEPS) di Serdang manakala pesakit wanita pula dikuarantin dan dirawat di hospital kerana bilangan mereka adalah kecil dan tidak ramai.

“Kita menghantar pesakit ke MAEPS kerana Stadium Tertutup Sukpa sudah mencapai had kapasitinya iaitu seramai 140 orang sahaja pada satu-satu masa,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini pihak MKN masih menunggu keputusan ujian COVID-19 dari Kluster Jalan Genting sama ada mempunyai pertambahan kes atau pun tidak.

Dalam pada itu, katanya, setiap pesakit akan dikuarantin dan diberi rawatan dalam tempoh 10 hari bermula dari tarikh mereka melakukan ujian pengesanan COVID-19 dan bergantung kepada keadaan pesakit sama ada rawatan perlu diteruskan.

“Bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) pula akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen sebaik sahaja mereka pulih bagi tindakan selanjutnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 2,995 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download