Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

CONTOHI AKHLAK RASULULLAH DALAM BERPOLITIK

KUANTAN, 29 OKTOBER 2020: Rasulullah SAW adalah rujukan utama dalam apa jua keadaan, kerana Baginda adalah insan terpilih yang diutuskan oleh Allah SWT untuk mengajar umat Islam untuk menjadi khalifah di bumi ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada ketika berhadapan dengan pelbagai dugaan, adalah wajar untuk bersama-sama memperingati sifat-sifat terpuji baginda seperti ketabahan, kecekalan dan kesabaran dalam menempuhi cabaran.

“Ciri kepimpinan Rasulullah SAW bukan sahaja hebat dari sudut ketenteraan dan pentadbiran, tetapi cara dan kaedah beliau menangani senario politik di zamannya, masih lagi releven untuk kita kaji dan hayati untuk dijadikan rujukan pada masa kini.

“Rasulullah SAW juga diutuskan sebagai ejen perubahan yang memimpin manusia sejagat keluar daripada kegelapan kejahilan. Akhlak beliau dalam berpolitik adalah telus dan ikhlas, yang mana, natijah beliau hanyalah untuk keamanan bagi setiap insan di dunia ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada permulaan gerakan dakwah pertama melalui proses penghijrahan baginda dari Mekah ke Yathrib, yang menyaksikan penyatuan kaum Aus, Khazraj dan Yahudi kepada pembukaan kota Madinah dengan piagam Madinah, hinggalah kepada hubungan antarabangsa kerajaan Baginda dan kerajaan luar, elemen penyatuan itu penting bagi keamanan dan kesejahteraan semua pihak.

“Diplomasi yang dipertontonkan oleh Rasulullah SAW kepada dunia pada ketika itu adalah suatu perkara yang amat menakjubkan. Kehebatan Baginda bukan sahaja diiktiraf oleh orang Islam, tetapi juga pemimpin di serata dunia.

“Sehingga kini, Rasulullah SAW diiktiraf sebagai pemimpin paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Jadi tidak hairanlah sekiranya penulis berbangsa Yahudi Amerika dan tokoh pengkaji sejarah terkemuka Dr. Micheal H. Hart meletakkan Rasulullah SAW sebagai tokoh nombor satu paling berpengaruh dalam sejarah manusia,” katanya.

Katanya lagi, bagi situasi di Malaysia, elemen penyatuan inilah yang amat diperlukan pada ketika ini.

“Di kala kita terus dilanda musibah penularan wabak COVID-19, kita perlu memastikan kebersatuan dapat diwujudkan tidak kira fahaman politik ataupun pendapat mengenai apa jua isu.

“Sekiranya kita mahu melihat Malaysia berjaya menangani krisis ini, kita perlu mewujudkan persekitaran politik yang stabil dan ini hanya akan dapat berlaku dengan penyatuan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: