Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar & Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin bersama peserta Bengkel Pematuhan Syarat Lesen Kilang Kelapa Sawit Negeri di The Zenith Hotel, di Kuantan hari ini.

CARI SOLUSI TERBAIK URUS TANDAN KOSONG SAWIT

Oleh: Fairus Mohd

Foto: Putera Falliq Hakim

KUANTAN, 7 JULAI 2020: Kerajaan Negeri sedang memikirkan langkah terbaik bagi menyelesaikan isu pelupusan tandan kosong sawit di negeri ini bagi mengelak sebarang kesan buruk terhadap kelestarian alam sekitar dan ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar & Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, Pahang merupakan negeri mempunyai paling banyak kilang kelapa sawit di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 71 kilang.

“Isu pelupusan tandan kosong kelapa sawit adalah isu besar di mana sebanyak 279,737 metrik tan tandan kosong dihasilkan sebulan. Kegagalan menguruskannya dengan baik menyebabkan penghasilan air laut resapan (leachate) yang boleh mencemarkan air laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar & Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin merasmikan Bengkel Pematuhan Syarat Lesen Kilang Kelapa Sawit Negeri di The Zenith Hotel, di Kuantan hari ini.

“Selain itu, terdapat juga tapak pengumpulan tandan kosong kelapa sawit yang terbakar terutamanya pada musim kemarau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bengkel Pematuhan Syarat Lesen Kilang Kelapa Sawit Negeri di The Zenith Hotel, di sini.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan lesen menduduki premis yang ditetapkan (kilang kelapa sawit) daripada Jabatan Alam Sekitar kepada semua kilang sawit terlibat.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, YBbhg Tuan Hj. Mohd Sani Mat Daud; Timbalan Pengarah (Operasi) Puan Noor Shahniyati Ahmad Shukri; Timbalan Pengarah (Pembangunan), Encik Hisham Abdullah serta Ketua Zon 1 Felda Global Ventures Palm Industries Sdn Bhd, Encik Mohd Holed Tarmidi.

Dalam pada itu, beliau berkata langkah yang masih dalam perancangan tersebut menumpukan kepada usaha mencari alternatif yang lebih sesuai untuk menguruskan pelupusan tandan kosong kelapa sawit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar & Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin.

“Tandan kosong ini boleh diolah dan diguna semula dengan pelbagai cara bagi menghasilkan produk yang menguntungkan termasuk kaedah sedia ada seperti mulching atau dipanggil pelupusan ladang dan dijadikan baja pada pokok sawit.

“Cara kita (kerajaan negeri) adalah mencari syarikat atau kilang yang dapat menguruskan tandan kosong ini, jika tiada kita akan memikirkan usaha mewujudkan kilang atau syarikat yang dapat menjalankan sistem pengurusan terbaik,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua yang terlibat dalam Industri Kilang Kelapa Sawit agar mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sekaligus mengurangkan beban pencemaran secara berterusan dan meningkatkan persekitaran alam semula jadi.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk menarik semula lesen operasi kilang yang melanggar syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.

“Penguatkuasaan yang menyeluruh dan tindakan tegas terhadap kilang yang mencemarkan alam sekitar menjadi misi dalam memastikan segala sasaran tercapai dengan jayanya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download