Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah yang juga Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato' Ali Syahbana Sabaruddin ketika berucap ketika merasmikan Latihan Simulasi Norma Baharu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Peringkat Negeri Pahang di SMK Kuala Krau.

CADANG GUNA SEMUA SEKOLAH DI TEMERLOH SEBAGAI PPS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 28 NOVEMBER 2020: Kesemua 90 buah sekolah di daerah Temerloh dicadangkan supaya menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai persediaan menampung mangsa banjir kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah yang juga Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin berkata, cadangan penambahan PPS ini berikutan penggunaan norma baharu yang telah ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah yang juga Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan bagi menghadapi banjir kali ini, kita menetapkan jarak tiga meter bagi setiap kubikel di dalam PPS.

“Sebagai contoh PPS di Dewan SMK Kuala Krau ini hanya boleh menempatkan 12 kubikel dengan jumlah maksimum mangsa seramai 150 orang sahaja berbanding 30 kubikel dengan mangsa seramai 400 orang sebelum ini disebabkan faktor penjarakkan yang perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas merasmikan Latihan Simulasi Norma Baharu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Peringkat Negeri Pahang di SMK Kuala Krau, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penambahan PPS ini akan dibuat bagi menampung jumlah mangsa banjir yang akan dipindahkan mengikut anggaran sebelum ini.

“Kita sedia maklum, SOP pemindahan mangsa banjir ke PPS sebelum ini telah ditambah baik berikutan wabak COVID-19 ini dan boleh saya katakan perubahan ini hampir 360 darjah daripada pelbagai sudut, jadi penambahan PPS ini juga adalah sebahagian daripadanya.

“Ia bagi memastikan semua mangsa yang akan dipindahkan berada dalam keadaan yang selamat dan dapat mengekang penularan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, jika penambahan PPS ini dilakukan, daerah ini akan mempunyai kira-kira 150 buah PPS berbanding hanya 87 buah PPS buat masa sekarang. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,356 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download