Tengku Hassanal (tengah) bersama YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy, Dato' Sri Haji Ishak, YB Dato' Sri Syed Ibrahim dan Profesor Ir. Dr Wan Azhar menyempurnakan program Jom Masuk IPT 2020 Zon 2 di UMP, di sini pagi tadi.

BUATLAH IBU BAPA KITA BANGGA – TENGKU HASSANAL

KUANTAN, 22 FEBRUARI 2020: Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar golongan mahasiswa belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membanggakan ibu bapa dan keluarga.

Baginda bertitah, mahasiswa yang baru menjejakkan kaki ke institusi Pengajian Tinggi perlu bijak merebut peluang dengan memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan minat dan pasaran kerja.

“InsyaAllah apabila peluang pendidikan itu berjaya diperolehi, berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang akan membanggakan keluarga kita,” titah banginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan program Jom Masuk IPT 2020 Zon 2 di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Naib Canselor UMP Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.

Baginda juga bertitah, pencapaian akademik yang cemerlang sahaja tidak lagi menjadi tiket jaminan untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan.

Baginda menyeru agar golongan mahasiswa ini mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran diri seperti kemahiran kepimpinan, pengucapan awam, berfikir secara kritis dan kreatif serta membina keyakinan diri sebelum memasuki alam pekerjaan.

Tengku Hassanal juga bertitah, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan semua universiti awam dan institusi pendidikan lain mempunyai infrastruktur terbaik dengan tenaga pengajar dan pentadbir yang berkualiti supaya dapat melahirkan modal insan yang cemerlang.

Tengku Hassanal bertanyakan sesuatu ketika baginda melawat booth UMP pada program Jom Masuk IPT 2020 Zon 2 di UMP pagi tadi.

Baginda bertitah, pihak kementerian dan universiti perlu memberi fokus kepada kebolehpasaran graduan agar tidak sahaja mengejar kuantiti sebaliknya utamakan juga kualiti supaya ia dapat memenuhi kehendak pasaran kerja kelak.

“Teori akademik yang diajar dalam kelas juga perlu diseimbangkan dengan praktikal,” titah baginda.

Tengku Hassanal juga berharap agar Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Tinggi dapat memberikan perhatian serius terhadap keperluan pembangunan infrastruktur UMP bagi memberi keselesaan kepada mahasiswa. -PAHANG MEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download