Mohd Sharim Md Zain (tengah) bersama barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai di Pekan

BN PERTAHAN KERUSI DEWAN NEGERI CHINI, MAJORITI LEBIH BESAR

PEKAN, 4 JULAI 2020: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Negeri (DN) Chini dengan majoriti yang lebih besar menerusi kemenangan calonnya, Mohd Sharim Md Zain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 12,650 undi.

Menerusi keputusan rasmi yang diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Chini, YH Dato’ Zaliza Zulkipli di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai di sini pada jam 9.05 malam, Mohd Sharim diisytihar pemenang dengan memperoleh 13,872 undi.

SPR merekodkan peratusan keluar mengundi pada 73.87 peratus dengan 239 undi ditolak.

Mohd Sharim menewaskan dua calon Bebas iaitu YM. Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli yang masing-masing mendapat 1,222 dan 137 undi.

Jumlah undi diperoleh itu bermakna kedua-dua calon Bebas hilang wang deposit.

Peraturan menetapkan calon kehilangan wang deposit jika gagal memperoleh satu perlapan atau 12.5 peratus undi daripada keseluruhan undi dikira.

PRK DN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan Mohd Fadhil Noor (PAS) yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.

Sementara itu, penyokong BN berhimpun di Bilik Gerakan BN di Taman Selasih di Paloh Hinai di sini untuk meraikan kemenangan parti itu pada PRK berkenaan.

Suasana gamat bermula sejak jam 6 petang dengan penyokong mengibar bendera parti sambil bersorak. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download