Presiden PPUGFM, En. Mohd Rosidi Hassan.

BIARLAH DEWAN NEGERI CHINI TERUS DIWAKILI UMNO SEHINGGA HABIS PENGGAL – PPUGFM

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 30 Mei 2020 – Persatuan Pengamal Undang-undang Generasi Felda Malaysia (PPUGFM) menyarankan agar kawasan Dewan Negeri (DN) Chini terus diwakili oleh calon dari UMNO sehingga tempoh penggal berakhir.

Saranan ini dibuat berdasarkan keputusan Pilihanraya umum lepas bagi DN Chini yang menunjukkan sokongan pengundi kepada Parti UMNO yang diwakili Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun mendapat majoriti yang besar berbanding parti lawan.

Justeru, Presiden PPUGFM, En. Mohd Rosidi Hassan berkata, jika diambil kira kewujudan Muafakat Nasional (MN) pada masa kini, sudah tentu kita dapat mengagak parti manakah yang menjadi pilihan para pengundi DN Chini buat masa ini.

“Walau bagaimanapun, kita akur bahawa Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya perlu diadakan Pilahanraya Kecil (PRK) dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berlaku dan kekosongan ini secara congaknya adalah melebihi tempoh dua tahun sebelum berakhir tempoh penggal pilihanraya umum yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Namun, dalam situasi terkini di Malaysia yang sedang berusaha mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 ini, adalah lebih baik untuk tidak diadakan pertandingan bagi mengelakkan bencana yang lebih buruk kepada rakyat dan negara.

Usaha ini juga selaras dengan Maqosid Syariah yang dituntut Islam supaya menjaga nyawa dan keselamatan diri.

Beliau juga mencadangkan agar pada masa akan datang, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dapat memperkenalkan satu kaedah lain yang dibenarkan secara perundangan untuk menjalankan pilihan raya secara atas talian.

“Namun, buat masa ini adalah lebih baik untuk tidak diadakan PRK bagi mengelakkan bencana yang lebih buruk kepada rakyat dan negara. Marilah kita sama-sama putuskan rantaian COVID-19 secara bersungguh-sungguh dan bersepadu. Insya Allah kita akan menang,” katanya.

Pada 15 Mei 2020 lalu, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun telah mengumumkan PRK Dun Chini akan diadakan pada tarikh 4 Julai 2020.

Keputusan ini dibuat selepas penyandangnya, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei 2020 akibat serangan jantung.

Pada Pilihanraya Umum Ke-14 lepas Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar memperoleh 10,027 undi dengan 4,622 majoriti berbanding parti PAS 5,405 undi dan parti Keadilan dengan 1,065 undi.

Dalam perkembangan sama, Pesuruhjaya PAS Pahang, YB. Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam satu kenyataannya pada 27 Mei 2020 menyatakan bahawa PAS tidak akan bertanding pada PRK Dun Chini pada 4 Julai depan bagi memberi laluan kepada UMNO. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: