Menteri Besar Pahang / Pengerusi BN Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

BERI LALUAN BN MENANG PERCUMA PADA PRK DN CHINI

KUANTAN, 6 JUN 2020: Semua pihak terutama parti-parti politik serta calon Bebas agar memberi laluan kepada BN untuk menang tanpa bertanding pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) kawasan Chini.

Pengerusi BN Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bermakna, PRK DN kawasan Chini khususnya tempoh berkempen 14 hari bermula Hari Penamaan Calon pada 20 Jun 2020 sehingga Hari Pengundian pada 4 Julai 2020, tidak perlu diadakan.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, ini juga dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti menjelang dan semasa PRK tersebut, yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia sekarang.

Menurutnya, saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan Pilihanraya Umum (PRU) di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini.

“Tun Dr Mahathir mungkin lebih menjurus kepada PRU tetapi seharusnya turut meliputi PRK seperti PRK DN kawasan Chini kerana kedua-duanya turut melibatkan pergerakan orang ramai, yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan wabak pandemik ini.

“Saranan ini juga selari dengan kenyataan media oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini yang mengumumkan parti tersebut tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK DN kawasan Chini atas alasan serupa,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, dengan tidak mengadakan PRK DN kawasan Chini ini juga boleh menjimatkan kos yang bakal ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kira-kira RM4.3 juta, malah oleh calon-calon serta parti-parti yang bertanding.

“Apa yang saya katakan ini tidaklah bermakna BN/UMNO bersikap riak atau takabbur tetapi sekadar menyatakan realiti semasa. Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan, supaya tidak bertanding.

“Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan wabak pandemik COVID-19 yang menggerunkan,” katanya.

PRK ini diadakan susulan penyandangnya Ahli Dewan Negeri Chini, YB Dato’ Sri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 6 Mei 2020.

Allahyarham memenanginya empat Pilihanraya Umum (PRU) iaitu pada PRU tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018.

Pada PRU14 tahun 2018, Allahyarham memenangi kerusi DN ini dalam pertandingan tiga (3) penjuru dengan majoriti besar, 4,622 undi.

Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon PAS ketika itu, memperolehi 5,405 undi. Seorang lagi calon dari PKR cuma mendapat 1,065 undi lalu hilang wang pertaruhan (kerana gagal mendapat minimum 1/8 daripada jumlah undian).

Oleh kerana kini, BN menjalin kerjasama erat dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) dan PAS sendiri meminta kerusi DN kawasan Chini tidak dipertandingkan; ia akan memberi peluang kepada calon BN/UMNO untuk menang lebih besar lagi. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: