Johan Anugerah Perdana Belia Negara 2020 Peringkat Negeri Pahang kategori individu lelaki, Mohd Izzat Afifi Bin Hj. Abdul Hamid menerima hadiah daripada Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

BELIA PERLU PROAKTIF JIKA MAHU BERJAYA – YAB MB PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 3 NOVEMBER 2020: Belia disaran untuk menjadi lebih proaktif jika mahu mencipta kejayaan dalam hidup dan tidak hanya menunggu arahan sahaja.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan belia mempunyai sifat ‘resilient’ atau daya tahan yang tinggi dan mereka seharusnya lebih dinamik.

“Ia bermaksud belia lebih berkeupayaan bukan sahaja menghadapi situasi yang getir dan sukar, malah mampu bangkit semula daripada kepayahan melalui keadaan tersebut.

Pemenang Anugerah Perdana Belia Negera 2020 Peringkat Negeri Pahang kategori individu lelaki Mohd Izzat Afifi (Kanan),kategori individu wanita Nurliana Binti Muhammad (kiri) dan Persatuan Belia (MBFM) Felda Siantan Jengka 19 bagi kategori pertubuhan belia bergambar bersama di majlis penyampaian anugerah oleh YAB Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Yayasan Pahang hari ini.

“Belia mampu menyumbang lebih daripada sepatutnya… Jangan hanya tunggu arahan untuk melakukan sesuatu, boleh buat program di mana-mana sama ada dengan keluarga atau komuniti tempat kita duduk seperti gotong-royong bersih kubur, bersih masjid, surau, menebas rumput Lalang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2020 Peringkat Negeri di Dewan Kompleks Yayasan Pahang, di sini hari ini.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Pertubuhan Belia, Anugerah Kategori Individu Lelaki, Anugerah Kategori Individu Wanita dan Anugerah Kategori Khas Belia.

Matlamat utama penganjuran Anugerah ini ialah untuk memberi penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan belia di Malaysia, dan negeri Pahang khususnya.

Ia juga sebagai meraikan kejayaan belia yang menunjukkan potensi diri yang cemerlang, serta turut menguar-uarkan kepada masyarakat mengenai sumbangan belia ke arah meningkatkan pembangunan belia secara keseluruhan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud Mohd Nawawi; Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB Encik Sharim Mat Zain; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Mu’azamir Jili dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menyatakan rasa bangga dengan kejayaan yang dilakar belia dan beliawanis Pahang (Saudara Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid dan Saudari Nurliana Muhammad) yang muncul sebagai johan kategori individu lelaki dan wanita di peringkat kebangsaan pada tahun ini.

“Saya juga rasa begitu teruja dan bangga dengan kejayaan pertubuhan belia (Persatuan Belia (MBFM) FELDA Jengka 19) yang diumumkan sebagai naib johan pada anugerah sama pada Mei lalu.

“Ia adalah kejayaan yang dibanggakan dan menjadi contoh kepada belia-belia di negeri ini. Kita harus pelajari bagaimana mereka boleh mencipta kejayaan sama ada individu ataupun persatuan… Sudah tentu bagi saya ada sesuatu kelebihan atau keistimewaan yang ada pada mereka sehingga boleh capai ke tahap yang sangat dibanggakan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error