Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUALA LIPIS, 6 NOVEMBER 2020: Golongan belia disaran meningkatkan pembangunan diri dan memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan semalam.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai peluang yang disediakan kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan tersebut merangkumi pelbagai aspek dan bidang yang boleh dimanfaatkan golongan tersebut.
“Golongan muda belia perlu merebut peluang yang ada untuk membuat perancangan demi memajukan diri sendiri dan juga negara.
“Jangan ambil sikap tunggu sahaja sebaliknya bertanya jika tidak faham tentang sesuatu perkara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Jamuan Malam Menteri Besar Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Jelai bersama Pemimpin Belia Kawasan Dewan Negeri Jelai di Pekarangan Pejabatnya di Sungai Koyan, di sini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda, Ahli Dewan Negeri Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Long dan barisan pemimpin daerah Lipis.
Beliau berkata, banyak bidang boleh ditingkatkan menerusi peluang yang disediakan oleh kerajaan seperti bidang pertanian.
Pada majlis sama, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengingatkan golongan belia supaya patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.
“Pastikan anda semua menjaga jarak fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan atau pun menggunakan cecair pembasmi kuman.
“Marilah kita bersama-sama berusaha agar Pahang dapat mengekalkan sifar kes bagi jangkitan kes COVID-19 ini. Banyakkan berdoa,” katanya.
Katanya, kes positif COVID-19 di Pahang berada pada tahap terkawal hasil usaha konsisten pelbagai pihak.
Justeru, rakyat Pahang khususnya golongan belia harus memberikan komitmen dalam bersama-sama mengekang penularan wabak pandemik tersebut. – PAHANGMEDIA