YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan

BELANJAWAN PAHANG : KERAJAAN PAHANG PERUNTUK RM147 JUTA BAGI PEMBANGUNAN INSTITUSI AGAMA ISLAM

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM147 juta untuk pembangunan institusi agama Islam di negeri ini bagi tahun hadapan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini melibatkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang dan Jabatan Mufti Pahang.

“Peruntukan ini merangkumi pelbagai perolehan aset dan perbelanjaan modal insan kepada sekolah-sekolah dan masjid seluruh Negeri Pahang yang melibatkan RM1.92 juta, pembinaan dewan serbaguna dan bangunan akademik, penyelenggaraan dan menaik taraf bangunan di bawah pentadbiran JAIP termasuk Pejabat Agama Islam Daerah dan asrama sekolah-sekolah di bawah pengurusan JAIP yang keseluruhannya berjumlah RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Majlis Penasihat Orang Kelainan Upaya (OKU) Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM150,000 setahun.

“Pembelian peralatan pemulihan kepada 52 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Negeri Pahang dengan kos RM520,000 bagi meningkatkan potensi pemulihan OKU dan mengelakkan kecacatan menjadi lebih teruk.

“Menyedari tanggungjawab besar yang dipikul oleh penyelia dan petugas PPDK, sumbangan one-off RM250 kepada 300 orang Penyelia dan Petugas PPDK seluruh Pahang dengan kos sebanyak RM75,000 bagi mengiktiraf komitmen pekerja, pendidik dan pengasuh OKU untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada OKU,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram