Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menunjukkan Buku Belanjawan 2021 Negeri Pahang sebelum dibentangkan pada Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: SEKTOR HUTAN DIJANGKA SUMBANG RM165 JUTA SUMBER PENDAPATAN NEGERI TAHUN HADAPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang menjangkakan sektor perhutanan akan menyumbang sebanyak RM165 juta kepada sumber pendapatan negeri pada tahun hadapan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kutipan ini adalah daripada bayaran premium, royalti dan caj-caj lain daripada sektor ini.

“Kerajaan Negeri juga telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta untuk tujuan pembangunan, penguatkuasaan dan termasuklah memasukkan cip ke pokok-pokok bagi tujuan pemuliharaan hutan di Negeri Pahang.

“Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan untuk aktiviti memulihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan, untuk memastikan pengekalan dan penggunaannya secara terus dan terancang,” katanya ketika menyampaikan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan mewartakan beberapa kawasan sebagai Taman Negeri di Negeri Pahang antaranya Lubuk Yu di Maran.

Tambah beliau lagi, secara keseluruhannya sehingga kini, hasil lelongan kayu rampasan adalah bernilai RM3.14 juta manakala kompaun dan ganti rugi bernilai RM5.18 juta telah berjaya diperolehi setakat ini.

“Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga telah melaksanakan 11 Operasi Bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.

“Seterusnya, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pelbagai projek pembangunan dan aktiviti perhutanan juga telah dirancang dengan anggaran peruntukan sebanyak RM35.5 juta,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri berbangga kerana berupaya mengekalkan kawasan hutan melebihi 50 peratus daripada keluasan tanah Negeri.

“Melalui usaha ini, ianya dapat memberikan manfaat jangka panjang seperti pengekalan kawasan tadahan air yang turut dirasai oleh negeri-negeri yang bersempadan dengan Negeri Pahang seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Jumlah hutan di Negeri Pahang sehingga Jun 2020 adalah seluas 2.05 juta hektar atau 57 peratus daripada keluasan tanah negeri seluas 3.59 juta hektar. Daripada jumlah ini, seluas 1.55 juta hektar atau 43 peratus merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK), manakala 399,700 hektar atau 11 peratus adalah Taman Negara atau Suaka Hidupan Liar dan Burung serta selebihnya iaitu 86,900 hektar atau dua peratus adalah Tanah Kerajaan Berhutan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 164 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: