Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: RM92.5 JUTA DIPERUNTUKAN BAGI BEKALAN AIR DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM92.5 juta bagi tujuan perbekalan air di negeri ini pda tahun hadapan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukan ini meningkat sebanyak RM57.3 juta berbanding peruntukkan yang diberikan untuk tujuan sama tahun ini.

“Dalam usaha untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri terus memberikan komitmen untuk melaksanakan program bekalan air yang telah dirancang.

“Pada tahun 2020, sebanyak RM35.2 juta peruntukan telah disediakan bagi menyiapkan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air baharu serta menaik taraf sistem sedia ada,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2021 Kerajaan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan projek pembinaan sebuah loji rawatan air dan tangki air di Kuantan dijangka akan dimulakan tahun hadapan bagi memenuhi keperluan bekalan air di kawasan Perindustrian Gebeng dengan anggaran kos projek keseluruhan RM619 juta.

“Di antara projek yang sedang giat dilaksanakan adalah membina tangki imbangan di kawasan Perindustrian Gebeng berjumlah RM173 juta, membina dan menyiapkan loji air di Semambu berjumlah RM446 juta dan projek pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Kawasan Perindustrian Gebeng berjumlah RM115 juta.

“Selain itu, terdapat juga projek untuk mengatasi kekeruhan di Loji Rawatan Air di Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau, Daerah Raub berjumlah RM18 juta,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga sedang dalam fasa terakhir untuk memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Pahang dengan Kerajaan Persekutuan.

“… dijangkakan perjanjian berkenaan akan termeterai sebelum 31 Disember 2020. Melalui penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Pahang, pinjaman bekalan air luar bandar yang bernilai RM1 bilion Kerajaan Negeri akan dihapus kira dan baki pinjaman bekalan air akan dinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Kerajaan Negeri kini berpuas hati dengan prestasi PAIP yang telah boleh berdikari berdasarkan kedudukan kewangan syarikat yang stabil dan kukuh. Kerajaan Negeri kini tidak perlu lagi menyalurkan bantuan geran secara tahunan kepada pihak PAIP untuk tujuan pengoperasian mereka.

“Sehingga 31 Oktober 2020, PAIP telah memperolehi keuntungan kasar sebanyak RM23.5 juta dan dijangka meningkat kepada RM32 juta pada tahun 2021,” katanya.

Menurut beliau lagi secara keseluruhannya 98 peratus kawasan di negeri ini telah menerima bekalan air.

“… di mana 100 peratus bagi kawasan bandar telah pun mendapat bekalan air bersih manakala kawasan luar bandar 98 peratus,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download