Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: PAHANG TAMBAH SEBUAH PEJABAT AGAMA ISLAM BAHARU DI KUANTAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang akan menambah sebuah Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang baharu di Mukim Kuala Kuantan 2, tahun hadapan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Pahang juga dalam kajian penstrukturan semula struktur organisasi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

“Penstrukturan ini akan melibatkan dua daerah dan sebanyak empat buah Pejabat Agama Islam Daerah iaitu Kuantan, Maran, Jengka dan Chenor. Bagi Daerah Kuantan, akan diwujudkan tambahan satu Pejabat Agama Islam Daerah baru di Mukim Kuala Kuantan 2 iaitu di Pahang Barat dan mengekalkan Pejabat Agama Islam Daerah sedia ada di Bandar Kuantan di Ibu Negeri.

“Manakala bagi Daerah Maran, akan kekal dua Pejabat Agama Islam Daerah iaitu Pejabat Agama Islam Daerah Maran dan Jengka,” katanya ketika menyampaikan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM129.26 juta bagi Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan JAIP pada tahun hadapan.

“Peruntukan ini merangkumi pembelian kenderaan kepada sekolah-sekolah dan masjid sebanyak 16 buah yang melibatkan RM1.92 juta, pembinaan dewan serbaguna dan bangunan akademik di Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku Kuala Lipis, menaik taraf bangunan di bawah pentadbiran JAIP termasuk PAID dan asrama sekolah-sekolah yang keseluruhannya berjumlah RM9.6 juta.

“Selain peruntukan Kerajaan Negeri, JAIP juga menerima peruntukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi peruntukan elaun guru Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) sebanyak RM30.9 juta setahun dan peruntukan bagi bayaran elaun imam kariah sebanyak RM9.8 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata JAIP juga mensasarkan untuk melaksanakan penambahbaikan sistem perkhidmatan kepada rakyat.

“Antaranya adalah mewujudkan direktori Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam (wali hakim) Negeri Pahang dalam Sistem e-Munakahat sedia ada bagi membantu memudahkan masyarakat dalam membuat urusan terutamanya proses perkahwinan.

“Selain itu mewujudkan perkhidmatan rundingcara atau khidmat nasihat atas talian dalam menyelesaikan sesuatu aduan yang diterima dengan mengambil masa yang seminima mungkin. Kaedah ini juga dilihat dapat membantu meningkatkan peratusan aduan yang berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download