Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: PAHANG PERUNTUK RM7.9 JUTA BAGI PEMBANGUNAN ICT

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM7.9 juta bagi pembangunan teknologi maklumat kepada jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan awam secara berterusan di negeri ini.

“Pada tahun 2021, sejumlah RM7.9 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri iaitu peningkatan sebanyak RM3.48 juta berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak RM360,000 diperuntukkan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM220,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di ruang pejabat Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.

“Sebanyak RM71,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan peralatan ICT serta sambungan rangkaian luaran (UNIFI) di Pejabat Pentadbiran Pulau Tioman,” katanya ketika menyampaikan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM65 juta bagi bantuan pendidikan dan kebajikan,program pendidikan serta bantuan kemasyarakatan bagi tahun 2021.

“Yayasan Pahang telah membangunkan Pelan Strategik Yayasan Pahang dan Kumpulan 2020 hingga 2028.

“Anggaran peruntukan perbelanjaan tahun 2021 bagi bantuan pendidikan dan kebajikan,program pendidikan serta bantuan kemasyarakatan adalah sebanyak RM65 juta merangkumi pendidikan berjumlah RM51 juta, komuniti berjumlah RM13 juta dan ekonomi sebanyak RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata antara sasaran Yayasan Pahang pada tahun 2021 ialah mencapai kedudukan ketiga dan ke atas bagi peringkat kebangsaan dalam pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan.

“Selain itu, Yayasan Pahang turut mensasarkn sebanyak 80 peratus anak yatim melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), dan 95 peratus murid boleh membaca seawal Tahun 1.

“Antara lain adalah 10 peratus masyarakat Orang Asli berjaya melanjutkan
pelajaran ke IPT, dan RM20 juta setahun kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan
Yayasan Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 190 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download