Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri pahang, Kuantan, hari ini.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: PAHANG PERUNTUK RM5 JUTA BAGI PROMOSI SEKTOR PELANCONGAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM5 juta kepada Tourism Pahang tahun hadapan sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Tourism Pahang turut memainkan peranan melalui pelaksanaan pelbagai program pelancongan secara individu atau webinar.

“Antara strategi Tourism Pahang, Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia pada tahun 2021 ialah memperhebatkan promosi tanah tinggi, Taman Negara dan Tioman.

“Strategi lain adalah dengan meningkatkan penggunaan platform digital; dan mengambil bahagian dalam platform promosi terkini seperti Virtual Travel Fair bersama dengan penggiat-penggiat industri,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Pahang juga akan memberikan rebet sebanyak RM50,000 melalui aplikasi PahangGo bagi digunakan di hotel terpilih di negeri ini.

“Bagi membantu semula ekonomi sektor pelancongan, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyediakan bantuan rebat atau kupon dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM50,000 melalui aplikasi PahangGo. Kupon ini boleh digunakan di hotel-hotel terpilih yang dikenal pasti,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun ini bagi sektor pelancongan.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2020 bagi 16 projek di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan 2020 meliputi setiap daerah di Negeri Pahang.

“Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan projek-projek pelancongan kepada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah 49.25 juta ringgit,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 348 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download