Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: PAHANG PERUNTUK RM5.5 JUTA BAGI SEKTOR PERTANIAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta bagi memantapkan sektor pertanian di negeri ini bagi tahun hadapan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peningkatan peruntukan ini meningkat sebanyak RM0.5 juta atau 10 peratus daripada tahun 2020.

“Peningkatan peruntukan ini diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai penglibatan anggota masyarakat dalam pembangunan pertanian dan membantu lebih ramai golongan muda dan B40 menerima insentif teknologi pertanian untuk menjana sumber pendapatan.

“Contohnya melalui Program Tanaman Keliling Rumah, insentif berupa benih dan bahan input pertanian akan disalurkan kepada individu dan juga komuniti setempat dan dijangkakan seramai 1,000 orang akan mendapat manfaat daripada program ini pada tahun hadapan,” katanya ketika menyampaikan Belanjawan 2021 Kerajaan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri menjangkakan sebanyak 800 ladang akan memperoleh sijil myGAP dan myOrganic pada tahun hadapan.

“Sehingga akhir tahun 2019, terdapat 597 ladang dengan keluasan 5,910 hektar telah memperolehi sijil myGAP dan dijangkakan angka ini akan melonjak kepada 800 ladang menjelang akhir tahun 2021.

“Kerajaan Negeri juga memberi penekanan kepada pengekalan amalan pertanian yang baik yang menjurus penglibatan lebih ramai petani memperolehi sijil myGAP dan myOrganic. Ketetapan ini untuk pengeluaran bahan makanan yang lebih berkualiti dan berorientasikan eksport,” katanya.

Beliau berkata bagi menambah pengetahuan dan peningkatan kemahiran para petani, Kerajaan Negeri merancang untuk mengadakan 414 latihan sepanjang tahun hadapan.

“Sebanyak 414 latihan dirancang untuk diadakan sepanjang tahun 2021 dengan penglibatan seramai 8,280 orang petani di seluruh Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Pahang menjangkakan pengeluaran makanan dianggarkan meningkat sehingga 631,000 tan metrik dengan nilai RM2.52 bilion pada akhir 2021.

“Sehingga akhir 2019, sebanyak 619,000 tan metrik hasil pertanian dengan nilai RM2.29 bilion telah dikeluarkan oleh Negeri Pahang.

“Pengeluaran bahan makanan sehingga Ogos 2020 telah mencapai 259,000 tan metrik dengan nilai RM1.66 bilion dan dijangka meningkat kepada 620,000 tan dengan nilai RM2.48 bilion sehingga akhir 2020,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 220 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: