Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ahli Dewan Negeri Pahang menunjukkan Buku Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG UMUM 13 BANTUAN PRIHATIN PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang mengumumkan 13 Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 bagi memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat di negeri ini terjaga.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat dalam menghadapi cabaran masa kini.

“Bagi menjaga kebajikan golongan warga emas yang berumur 80 tahun ke atas, sumbangan secara one-off sebanyak RM250 seorang melibatkan seramai 2,054 orang dengan peruntukan berjumlah RM513,500 akan diberikan.

“Bagi membantu Orang Kelainan Upaya (OKU), Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM8,493,250 kepada 33,973 penerima secara one-off dengan kadar RM250 seorang,” katanya ketika menyampaikan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tambah beliau lagi seramai 3,014 penerima Bantuan Am Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima kadar bantuan sebanyak RM350 sebulan.

“Kerajaan Negeri akan menaikkan kadar bantuan am ini dari RM300 sebulan kepada RM350 sebulan yang menjadikan keseluruhan peruntukan tambahan adalah sebanyak RM1,808,400 setahun.

“Bagi menghargai bakti imam-imam kariah, Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak RM750 seorang kepada seramai 1,032 imam seluruh Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan RM774,000.

“Selain itu, tidak dilupakan juga jasa bilal dan siak, Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak RM250 seorang yang melibatkan seramai 888 bilal dan 889 siak seluruh Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan RM444,250,” katanya.

Tambah beliau lagi bagi tujuan memberi semangat kepada seramai 24,000 pelajar Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan yang bakal memasuki alam persekolahan Darjah 1 pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2.4 juta melalui pemberian 100 ringgit kepada setiap murid.

“Tidak dilupakan juga kepada 543 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), 62 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKB) dan 70 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) yang telah banyak menyumbangkan bakti di peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju memperuntukkan sejumlah RM250 secara one-off kepada setiap Pengerusi dengan jumlah peruntukan RM168,750.

“Untuk meringankan kos sara hidup kumpulan B40, sumbangan secara one-off sebanyak RM250 diperuntukkan kepada setiap peserta e-Kasih miskin tegar seramai 1,594 orang. Ia akan melibatkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM398,500,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM840,000 setahun untuk Elaun Tambahan Guru Al-Quran dan Fardhu Ain Asrama kepada 350 orang pada kadar RM200 seorang mulai tahun 2021.

“Elaun ini akan meningkat daripada 800 ringgit kepada RM1,000 sebulan.

“Kerajaan Negeri juga prihatin kepada institusi Maahad Tahfiz yang ada di Negeri Pahang. Oleh itu, Maahad Tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) akan menerima peruntukan berjumlah RM1 juta secara keseluruhan untuk diagihkan kepada 89 buah Maahad Tahfiz,” katanya.

Menurut beliau, seramai 301 orang Tok Batin akan turut menerima sumbangan secara one-off bernilai RM250 seorang yang berjumlah RM75,250 keseluruhannya.

“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian sebanyak RM200 kepada pasangan yang berkahwin kali pertama pada tahun depan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan RM10,000 untuk setiap 52 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk memberikan latihan dan pemulihan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU). Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM520,000.

“Tidak dilupakan, kepada guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sekolah dan asrama, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan secara one-off berjumlah RM300 kepada 2,978 guru yang terlibat. Jumlah peruntukan Bantuan Khas Kewangan ini adalah sebanyak RM893,400,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 581 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: